Jemaah Telah Tunai Haji, Tidak Dibenar Daftar Untuk Kali Kedua – TH

481

Tabung Haji (TH) akan memastikan tiada individu yang akan menunaikan haji dua kali bagi mengelakkan jemaah kali pertama terpaksa menunggu giliran selama 107 tahun.

Sehubungan itu, TH menetapkan, jemaah yang telah menunaikan fardu haji tidak dibenarkan mendaftar untuk kali kedua.

Datuk Seri Zukri Samat

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan TH, Datuk Seri Zukri Samat berkata, polisi tersebut diperkenalkan kerana waktu menunggu bagi jemaah yang belum pergi menunaikan haji adalah terlalu lama.

“Yang dah pergi haji, tidak boleh daftar lagi kerana ketika ini kita ada seramai 3.2 juta orang mendaftar untuk pergi haji.

“Setahun kita cuma boleh hantar 30,000 jemaah sahaja, secara matematiknya waktu menunggu bagi jemaah mencapai 107 tahun,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya pada Jumaat.

Ditanya mengenai dakwaan terdapat segelintir individu yang menjadikan TH sebagai tempat untuk melabur bagi menerima hibah, Zukri mengiyakan perkara itu sambil menyatakan sebahagian daripada pendeposit TH merupakan orang kaya.

“Memang benar sebahagian besar daripada pendeposit TH merupakan golongan kaya dan berada, mereka simpan di TH untuk melaburlah.

“Perkara ini terpulang kepada Lembaga Pengarah TH yang baharu untuk berbincang dan sama ada untuk melakukan sesuatu terhadap sistem ini,” jelas beliau lagi.