Jika Gabungan UMNO-PAS Menguntungkan, MIC Kekal Bersama BN

365

Presiden MIC, SA Vigneswaran berkata, tidak salah Umno bekerjasama dengan PAS, jika hubungan itu akan memanfaatkan Barisan Nasional.

Katanya, kerjasama itu bukan perkara baru kerana DAP dan PKR juga adalah sekutu kepada parti Melayu dan Islam seperti PPBM serta Amanah.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan jika MIC bekerjasama dengan PAS dan Umno,” katanya kepada FMT susulan pengumuman Umno berhubung kerjasama rasmi dengan parti Islam itu di peringkat Parlimen dan pilihan raya kecil.

Kelmarin, MIC dan MCA mengugut akan meninggalkan BN kerana tidak puas hati dengan kenyataan Setiausaha Agung BN, Nazri Aziz yang berbaur “perkauman”.

Nazri dilapor mempersoalkan pelantikan orang bukan Islam ke jawatan penting seperti peguam negara dan ketua hakim negara.

Vigneswaran dan Presiden MCA, Wee Ka Siong dilaporkan berkata, mereka tidak lagi yakin BN komited kepada konsep pelbagai kaum dan satu mesyuarat peringkat tertinggi perlu diadakan untuk meneroka “pakatan baru”.

Semalam, pemimpin tertinggi Umno dan PAS berkata, kedua-dua parti itu “sudah bersanding” dan berikrar bertindak sebagai pembangkang secara bersama di Parlimen.

Vigneswaran berkata, MIC akan kekal dalam BN selagi ia mendapat manfaat daripada gabungan Umno-PAS.

Tetapi, MCA kelihatan kurang yakin dengan Wee enggan mengulas mengenai perkembangan terbaru itu.

Sementara itu, Ketua Biro dan Strategi Dasar PPBM, Rais Hussin berkata, Pakatan Harapan perlu memfokuskan usaha melaksanakan janji pilihan rayanya.

“Ekonomi lebih penting daripada perkara lain,” katanya kepada FMT.

Beliau turut menyambut baik ikrar Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan untuk menyokong Dr Mahathir Mohamad, jika berlaku undi tidak percaya di Parlimen.