“Jika Tidak Ikut, Bersedialah Untuk Disaman” Amaran Timbalan Menteri Kerja Raya Kepada Pengguna Jalan Persekutuan

359

BENTONG 30 Mei – Had laju kenderaan di jalan persekutuan dan negeri diturunkan sebanyak 10 kilometer sejam berbanding kadar biasa selama 15 hari bermula semalam sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir berkata, penurunan had laju berkenaan menyaksikan had laju jalan persekutuan sepanjang tempoh itu 80 kilometer sejam manakala bagi jalan negeri adalah 70 kilometer sejam.

“Ingatlah, apabila hidupkan suis kenderaan, baca doa, ingat had laju kita 80 kilometer di jalan persekutuan dan 70 kilometer sejam di jalan negeri.

“Jika masih ikut had laju lama, bersedialah untuk disaman,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program ‘Coffee Break’ sempena Hari Raya Aidilfitri di Stesen Minyak Petronas Jalan Tras di sini hari ini.

Yang hadir sama Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman; ADUN Bilut, Lee Chin Chen; ADUN Karak, D. Kamachee dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, Datuk Abdul Razak Jaafar.