Kamera AES/AwAS: Kerajaan Pulau Pinang Bakal Mungkiri Janji

621

AES (Automated Enforcement System) yang kini dijenamakan semula sebagai AwAS (Awareness Automated Safety System) dilapor akan perluaskan pemasangannya keseluruh negara.

Utusan Online melaporkan;

KUALA LUMPUR 4 Feb. – Bilangan sebenar kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Lebuh Raya Utara Selatan bukan 11 buah, sebaliknya lebih banyak lagi.

Menurut Ketua Pengarah Ins­titut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr. Siti Zaharah Ishak, sebanyak 11 buah kamera yang diumumkan hendak dipasang sebelum ini merupakan permohonan awal syarikat konsesi lebuh raya, Projek Lebuhraya Utara Selatan (Malaysia) Berhad (PLUS) kepada kementerian.

Kata beliau, permohonan itu dibuat selepas PLUS mengenal pasti beberapa kawasan yang kerap berlaku kemalangan hingga menyebabkan risiko kematian akibat memandu melebihi had laju.

“Memang wajar penambahan kamera AES sebab ada keperluan malah MIROS juga telah mendapat arahan daripada kementerian untuk mengenal pasti lokasi-lokasi berisiko kemalangan selain membuat penarafan terhadap jalan tersebut,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat MIROS, Kajang, dekat sini hari ini.

Siti Zaharah berkata, PLUS juga mengenal pasti Jambatan Pulau Pinang sebagai antara lokasi yang perlu dipasang ka­mera AES.

Jelas beliau, ia susulan daripada kes kemalangan sehingga menyebabkan sebuah kende­raan SUV terhumban ke laut dan pemandunya maut di Jambatan Pulau Pinang bulan lalu.

“MIROS dimaklumkan PLUS telah memanjangkan surat permohonan kepada kementerian dan seterusnya akan memanggil kami untuk bersama meneliti cadangan lokasi baharu mele­takkan kamera AES.

Mengulas lanjut, Siti Zaharah berkata, antara kawasan yang menjadi keutamaan MIROS untuk dikenal pasti adalah Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan Lebuh Raya Utara Selatan kerana memerlukan penambahbaikan jangka panjang.

Memetik kenyataan itu, Siti Zaharah turut memberi penegasan tentang keperluan pemasangan kamera AES/AwAS di Jambatan Pulau Pinang.

Kerajaan Pulau Pinang wajar untuk membantah rancangan pemasangan jika ia melibatkan negeri ini kerana ia tidak sejajar dengan janji yang dibuat oleh mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Buletin Mutiara pada 2012 melaporkan;

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri tidak akan membenarkan sebarang pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di negeri ini.

Malah, selain kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bakal diarahkan untuk menanggalkan kamera berkenaan, Kerajaan Negeri juga bersedia ke mahkamah sekiranya terdapat sebarang pertikaian berhubung perkara tersebut.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, keputusan tersebut diambil selepas pegawai kanan Kementerian Pengangkutan menangguhkan taklimat pemasangan kamera AES kepada Exco Kerajaan Negeri pada 30 Oktober lalu.

Beliau berkata, taklimat itu sepatutnya diadakan semula dalam tempoh sebulan, tetapi Kerajaan Negeri difahamkan pihak terbabit tidak akan mengadakannya tanpa memberi sebarang alasan.

“Saya jangka taklimat itu dibatalkan atas arahan pihak atas, maka, Kerajaan Negeri tidak akan benarkan kamera AES dipasang di negeri ini,’’ katanya pada majlis sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Beliau memberitahu, sekiranya dipasang, kedua-dua PBT iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan diarahkan untuk menurunkannya.

“Saya juga minta pengguna kenderaan untuk perhatikan, sekiranya ada, maka, ia dibuat tanpa persetujuan Kerajaan Negeri.

Jika dipasang dan diturunkan, apa-apa pertikaian berhubung perkara tersebut, Kerajaan Negeri sedia ke mahmakah,’’ tegasnya.

Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri lazimnya tidak menentang sebarang usaha pematuhan peraturan-peraturan lalulintas atau pengangkutan jalan.

“Tetapi, untuk AES, kita menentang kerana had laju yang ditetapkan adalah tidak selaras dengan keadaan semasa. Dengan kelajuan 50 atau 60 kilometer sejam, sudah tentu menyusahkan pengguna jalan raya. Lebih baik pengguna jalan raya turun dan tolak kereta.

“Kedua, dua syarikat kroni Barisan Nasional (BN) bakal mendapat komisen untuk setiap keping saman dikeluarkan.

“Ini tidak boleh diterima langsung kerana penguatkuasaan tidak boleh diswastakan kepada dua syarikat swasta. Sebaliknya, ia adalah kuasa sebuah kerajaan yang dipilih rakyat,’’ tegas Guan Eng.

Melalui artikel sama, Lim Guan Eng turut mendakwa dua syarikat kroni kerajaan persekutuan terdahulu, Barisan Nasional bakal memperoleh komisen untuk setiap keping saman yang dikeluarkan.

Seandainya benar setiap keping saman AES hanya akan memberikan laba kepada syarikat kroni Barisan Nasional, bukan hanya Kerajaan Pulau Pinang harus menentang pertambahan pemasangan kamera AES/AwAS ini.

Kerajaan Pulau Pinang harus konsisten menentang pemasangan kamera AES/AwAS ini sekalipun ia hanya melibatkan kawasan berisiko berlaku kemalangan.