Kampung Baru : 93.7 Peratus Penduduk Setuju Jual Pada Harga RM850 Sekaki Persegi

472

Sebanyak 93.7 peratus penduduk Kampung Baru bersetuju untuk menjual tanah milik mereka kepada kerajaan dengan nilai RM850 bagi setiap kaki persegi.

Sumber Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) berkata, buat masa ini pihaknya masih menunggu baki penduduk lain untuk menghantar borang persetujuan berkenaan sehingga 10 Oktober depan.

Bagaimanapun sumber itu berkata tempoh penyerahan borang berkenaan mungkin akan dilanjutkan lagi bagi memberi laluan kepada pihak terlibat untuk berbincang dengan lebih lanjut dengan waris lain berhubung tawaran kerajaan itu.

“Buat masa ini kita masih belum tetapkan lagi berapa lama tempoh lanjutan itu selepas tarikh akhir pada 10 Oktober ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Pada sesi town hall Pembangunan Kampung Baru sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mengumumkan tawaran kerajaan untuk pembelian tanah sebanyak RM850 setiap kaki persegi yang rata-ratanya tidak dipersetujui pemilik tanah itu.

Susulan itu Khalid menjelaskan bakal memanjangkan isu tawaran harga itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk perbincangan selanjutnya

Pada masa sama Khalid berkata, kerajaan memberi jaminan sekiranya pembangunan semula Kampung Baru dilaksanakan dan tidak mampu dibeli orang Melayu tanah berkenaan tidak akan dibuka kepada bukan Melayu atau ditukar status kepada pegangan bebas (freehold).

Katanya, ini kerana Kampung Baru tidak akan dijual kepada bukan Melayu seperti termaktub dalam Akta 733 Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu.