Kegagalan Tommy Memalukan

208

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Kegagalan Peguam Negara, Tommy Thomas untuk menasihati Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong berhubung keperluan menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat sama ada wujud salah laku oleh enam ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disifatkan sebagai memalukan dan tidak boleh diterima.

Penubuhan tribunal berkenaan juga dilihat sekadar bersifat akademik, sia-sia dan tidak memberikan apa-apa kesan yang produktif malah berlakunya pembaziran masa serta sumber negara.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan parti itu mengutuk dan menggesa Tommy mengambil tanggungjawab penuh di atas kegagalan besar itu kerana tugas sebagai Peguam Negara bukan sahaja untuk memberi nasihat berkaitan undang-undang tetapi juga memastikan nasihat yang diberikan itu terus sesuai, tepat dan praktikal dengan konteks semasa.

Mohamad yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO berkata, jika berlaku sebarang perubahan fakta, sudah menjadi tanggungjawab Tommy untuk memaklumkan perkara tersebut kepada negara, kepada Yang di-Pertuan Agong dan pihak yang berkaitan.

“Tahun lalu, Tommy telah menasihati Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Yang di-Pertuan Agong keperluan menubuhkan tribunal menyiasat sama ada wujud salah laku dan jika didapati bersalah keenam-enam mereka boleh dilucutkan jawatan.

“Malangnya, beliau kemudiannya terlepas pandang atau gagal memberikan nasihat perundangan yang terkini dan tepat kepada Dr. Mahathir dan Yang di-Pertuan Agong selepas keenam-enam ahli SPR itu meletak jawatan,” katanya menerusi catatan dalam Facebook miliknya, hari ini.

Semalam, tribunal yang dianggotai lima hakim-hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Tan Sri Amar Steve Shim Lip Kiong selesai membuat prosiding terhadap kes tersebut.

Empat lagi hakim adalah Tan Sri Zaleha Zahari, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham.