Kemasukan Sheikh Omar Akan Menjahanamkan YADIM

179

KATA Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, perlantikan Adun DAP Paloh, Sheikh Omar Ali sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) tidak sepatutnya mencetuskan kontroversi kerana pemilihannya dibuat berdasarkan kelayakan dimilikinya.

Kata Datuk Seri Dr Mujahid lagi: “Sheikh Omar dilantik atas kelayakannya sebagai seorang yang ada latar belakang agama. Tidak ada persepsi (negatif), dia seorang Muslim, ada merit dan dia juga ada sumbangan idea yang baik sebelum ini. Dia seorang aktivis dengan pemahaman Islam yang jelas.”

Kita tidak pernah menafikan kelayakan dimiliki Sheikh Omar yang disebut-sebut sebagai mendapat pendidikan peringkat ijazah dalam bidang Usuluddin di Universiti Malaya (UM) dengan pengkhususan dalam dakwah.

Yang kita persoalkan ialah kedudukan Sheikh Omar sebagai wakil DAP dalam YADIM dan dakwaan Datuk Seri Dr Mujahid bahawa Sheikh Omar adalah “seorang aktivis dengan pemahaman Islam yang jelas.”

Tujuan penubuhan YADIM, iaitu untuk menyelaraskan kegiatan badan-badan dakwah serta NGO agar berjalan seiring dan sejajar dengan dasar negara serta menjadi pemangkin ke arah penyebaran dakwah di Malaysia, terang-terang bercanggah dengan tujuan penubuhan DAP, iaitu untuk mewujudkan sebuah negara Sekular di Malaysia.

Dalam negara Sekular DAP, urusan agama, termasuk urusan dakwah, tidak boleh dijadikan urusan negara kerana bagi DAP urusan agama begini adalah urusan peribadi rakyat Malaysia manakala YADIM pula adalah sebuah institusi negara untuk menyelaraskan serta menjadi pemangkin ke arah penyebaran dakwah di Malaysia.

Lihat sahaja kenyataan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, ketika mengalu-alukan kemasukan Sheikh Omar ke dalam DAP pada 20 Jun 2015: “Saya menerima dengan senang hati kemasukan Sheikh Omar menyertai DAP. Sama ada pemuda Melayu atau bukan Melayu tanpa mengira kaum, agama dan tempat, yang berkongsi prinsip bersama DAP dan objektif untuk mencapai impian Malaysia.”

Lihat pula pengakuan Sheikh Omar ke atas keakuran beliau terhadap ingatan Lim Kit Siang melalui kenyataan beliau ini: “Menurut perlembagaan parti, DAP merupakan sebuah parti Sekular… Bagi DAP, urusan beragama adalah bersabit seorang hamba dengan Tuhannya.”

Nilailah pula pemahaman Islam Sheikh Omar melalui kenyataan beliau ini: “Usaha DAP seperti melawan penindasan, menentang perkauman sempit, membetulkan urus tadbir serta ekonomi negara, melawan ketirisan dan rasuah dan sebagainya perlu diteruskan. Itulah Islam!”

Bagaimana agaknya orang yang mempunyai pemahaman Islam yang bercanggah dengan pemahaman Islam YADIM, dan yang berada dalam sebuah parti yang tujuan penubuhannya terang-terang bercanggah dengan tujuan penubuhan YADIM, boleh dilantik sebagai anggota lembaga pemegang amanah YADIM?

Kemasukan orang begini ke dalam YADIM pasti sahaja akan menjahanamkan YADIM. – HARAKAHDAILY 30/1/2019