Kenaikan Kadar Tarif Air Mungkin Diumum Akhir Tahun Ini, Menteri Minta Rakyat Fahami Situasi

172

Kadar baru tarif air bagi semua negeri kemungkinan diumumkan hujung tahun ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata bagaimanapun perkara itu akan dibawa kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu untuk dibincangkan.

“Setelah Jemaah Menteri bersetuju dengan kadar baru ini baru saya akan umumkan kenaikan bagi setiap negeri, kemungkinan pada hujung tahun ini, tetapi saya tidak boleh janji apa-apa,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan Larian Keamanan 2019 di Dataran Pantai Morib di Banting, Selangor.

Turut hadir Setiausaha Agung Persatuan Soka Gakkai Malaysia (SGM), Lok Chee Khong dan Ahli Dewan Undangan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin.

Seramai 1,500 peserta menyertai larian berkenaan yang pertama kali diadakan di luar Klang sejak ia dianjurkan oleh SGM pada 2005.

Ditanya mengenai peratusan kenaikan tarif air itu, Dr Xavier berkata pihaknya akan memastikan kenaikan itu kelak tidak membebankan rakyat.

“Kita faham situasi rakyat, tetapi pada masa sama yang rakyat perlu faham bahawa industri air sudah lama tidak ada perubahan dan ia memerlukan modal operasi yang besar,” katanya.

Mengulas mengenai larian berkenaan, Ahli Parlimen Kuala Langat itu berkata acara seperti itu penting sebagai wadah untuk rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan kaum untuk bersama-sama membina negara yang aman, damai dan sejahtera.

“Perkara ini penting terutamanya bagi anak muda kita kerana mereka lah yang akan tentukan masa depan negara dan saya berharap acara ini akan diteruskan di masa hadapan,” katanya.

– Bernama