Kenaikan Kos Sara Hidup Rakyat Berpunca Dari Kadar Gaji Penjawat Awam Yang Terlalu Tinggi – PM

631

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kenaikan gaji “terang-terangan” bagi pekerja awam adalah antara punca kenaikan kos sara hidup.

Ketika sessi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Parlimen hari ini, Ahli Parlimen Langkawi yang juga Perdana Menteri berkata amalan itu juga menjurus kepada kenaikan gaji yang berlaku di sektor swasta.

“Kami mendapati bahawa peningkatan gaji penjawat awam adalah antara faktor peningkatan kos sara hidup.

“Apabila berlaku kenaikan gaji kerajaan (penjawat awam), sektor swasta turut menngikutinya dan kos sara hidup meningkat,” katanya.

“Walaupun kami mengakui kenaikan gaji itu diterima oleh semua penjawat awam, perlu diingatkan bahawa ia mesti seiring dengan peningkatan produktiviti,” tambah Dr Mahathir.

Dr Mahathir telah membuat kenyataan yang sama tahun lepas selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya.

Beliau mendakwa kenaikan dua tangga gaji setahun untuk penjawat awam seperti yang dijanjikan oleh kerajaan terdahulu (BN) adalah faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga barangan.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut dikritik oleh bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang mengatakan bahawa kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri itu bertentangan dengan apa yang pernah diperjuangkan Pakatan Harapan ketika bergelar pembangkang berkaitan isu kadar gaji minimum suatu ketika dahulu sebelum bergelar kerajaan.

“Jika kita lihat semula, salah satu naratif kerajaan PH semasa kempen pilihan raya umum lalu adalah untuk menangani isu skala gaji yang kononnya rendah untuk rakyat Malaysia bagi kumpulan tidak mahir.

“Itulah sebabnya had minimum gaji sebanyak RM1,500 adalah salah satu intipati utama yang ditawarkan PH ketika berkempen pada PRU14, sebelum hanya menetapkannya pada kadar RM1,050 dan kemudian ia disemak semula menjadi RM1,100,” kata Khaled

Khaled, turut menjelaskan bahawa jumlah penjawat awam di negara ini juga tidak besar kerana ia sepadan dengan keperluan penduduk iaitu bersesuaian dengan nisbah 1:20.

Dr Mahathir juga menzahirkan rasa tidak berpuas hati dengan polisi perkhidmatan awam yang diamalkan penggantinya dan menyifatkan
sepanjang tempoh 15 tahun selepas beliau meletakkan jawatan di dalam kerajaan ia tidak mengikuti falsafah yang pernah diamalkan beliau.

Dr Mahathir, yang berkuasa selama 22 tahun sehingga dia turun pada tahun 2003, diketahui telah menentang kenaikan gaji, mengatakan ia adalah faktor peningkatan kos hidup.

*diterjemah dari artikel The Malay Mail