Kerajaan ‘Bazirkan’ RM10juta Berkaitan Penjenamaan Semula iM4U Kepada Impact Malaysia

242

KUALA LUMPUR, 19 April – Kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk mengubah suai 1Malaysia 4 Youth (iM4U) yang dikendali kerajaan Barisan Nasional kepada Impact Malaysia yang memberi fokus kepada penyertaan sukarelawan yang lebih berinovasi.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata iM4U perlu dilihat semula, setelah ia digunakan ketika pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui program “I love PM”.

“Kami akan ubah semua elemen dengan mempunyai jawatankuasa yang baru, fokus, visi, CEO dan kami sudah hampir untuk menyiapkan report audit.

“Punca kami hadapi masalah kekurangan kewangan untuk iM4U adalah kerana ia sebuah institusi berada di bawah Kementerian Kewangan (MOF), yang mengatakan kami tidak akan mendapat dana sehingga kami menunjukkan pengurusan kewangan dan tadbir urus yang lebih baik.

Syed Saddiq berkata pendekatan Impact Malaysia adalah berbeza dengan iM4U yang sebelum ini menggalakkan aktiviti sukarelawan dalam kalangan belia dengan melakukan pembaharuan iaitu meletakkan mereka di bawah satu bumbung dan bekerjasama untuk melakukan inovasi sosial.

“Ketika ini kita sudah ada terlalu banyak program sukarelawan malah ada banyak kementerian mempunyai program yang sama, dan berlaku pertindihan sekali gus membuatkan mereka bersaing sesama sendiri.

“Justeru Impact Malaysia merupakan kombinasi semua pihak, membuka pintu kepada NGO, syarikat korporat, perusahaan malah individu untuk melakukan inovasi sosial melalui teknologi terkini yang boleh digarapkan,” katanya.- BERNAMA