Kerajaan Digesa Keluar Dari Radar Kejahilan, Sediakan Wad, Tandas dan Lokap Untuk Golongan Transgender

474

Dari Facebook Dr Kamarul Yusoff;

WAD, LOKAP DAN TANDAS KHAS UNTUK TRANSGENDER DI MALAYSIA?

Pesuruhjaya SUHAKAM, Datuk Mohd Hishamudin Md Yunus, hari ini dilaporkan menggesa kerajaan supaya keluar dari radar kejahilan dalam mengiktiraf transgender.

Kata beliau, diskriminasi ke atas transgender perlu dihentikan, dan kerajaan perlu mewujudkan wad, lokap dan tandas khas untuk mereka bagi menghormati hak asasi mereka.

Ini kerana, kata beliau, dari perspektif perubatan, golongan transgender tidak boleh berubah kembali ke lelaki atau wanita normal menyebabkan mereka tidak boleh dipulihkan.

Beliau juga berkata, kerajaan baharu PH kelihatan menerima golongan transgender dan kurang mendiskriminasikan mereka berdasarkan kenyataan Datuk Seri Dr Mujahid.

Kenyataan ini menimbulkan tiga persoalan:

(1) Benarkah kerajaan PH menerima golongan transgender? Jika benar, apakah kerajaan PH akan menerima pakai tuntutan SUHAKAM supaya ia mewujudkan wad, lokap dan tandas khas untuk golongan ini?

(2) Benarkah wad, lokap dan tandas khas untuk golongan transgender adalah hak asasi mereka? Jika benar, dalam peruntukan akta mana atau melalui keputusan mahkamah mana hak ini termaktub?

(3) Benarkah golongan transgender tidak boleh dipulihkan? Jika benar, mengapakah Ketua Pengarah JAKIM pernah mengumumkan ia telah berjaya memulihkan lebih seribu transgender sebelum ini?