Kerajaan PH Sedang Turunkan Harga Barang, Kos Sara Hidup – Tun M

320

SEMENYIH: Kerajaan sedar akan keperitan hidup rakyat disebabkan beban kos sara hidup dan harga barang yang tinggi, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Dr Mahathir, ketika ini kerajaan sedang berusaha meringankan beban rakyat dengan menurunkan kos sara hidup serta harga barangan.

“Saya sedar bahawa harga barangan naik sikit. Insha-Allah apabila kita usahakan, dan sekarang sedang ambil tindakan untuk turunkan kos sara hidup, saya yakin kita akan dapat nikmat dalam usaha turunkan harga barang.

“Kita ada rancangan untuk memperkayakan negara kita. Kita (Pakatan Harapan) ada pengalaman. Kita tahu bagaimana nak majukan negara dan rakyatnya,” katanya dalam ucapan pada Ceramah Perdana PH di sini pada Khamis.

Kata Pengerusi PH itu, ini termasuk dengan memberi bantuan subsidi serta latihan kemahiran untuk pengusaha kecil.

“Kita ingin perkayakan Semenyih dan Beranang. Saya tahu di Beranang ramai penduduk yang terdiri daripada orang Melayu.

“Mereka berusaha menternak lembu dan tanam serai dan mereka berjaya. Tapi mereka perlu bantuan daripada kerajaan supaya lebih berjaya.

“Kita juga ingin memberi ilmu dan kecekapan supaya mereka boleh lebih berjaya dan boleh kayakan diri mereka,” katanya.

Namun, kata Perdana Menteri, bantuan subsidi tidak seharusnya diberikan kepada pengusaha yang sama selamanya.

Sebaliknya kata Dr Mahathir, PH mahu memastikan pengusaha-pengusaha boleh berdiri atas kaki sendiri selepas beberapa kali menerima bantuan kerajaan.

“Memanglah senang kalau kita diberi bantuan dan subsidi, tapi mereka yang dapat subsidi tak kaya sampai bila-bila. Sebaliknya mereka yang tak dapat subsidi jadi kaya sebab mereka berusaha.

“Itulah hasrat PH, kami ingin kayakan yang miskin. Bukan ingin mereka kekal miskin dan bergantung kepada subsidi dan bantuan sahaja,” tambahnya lagi.