Kerajaan Pulau Pinang Sasar Kurangkan Lima Peratus Penjawat Awam Secara Berperingkat

225

Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengurangkan jumlah penjawat awamnya sebanyak lima peratus dalam tempoh tiga tahun sehingga 2021 sejajar dengan langkah rasionalisasi yang disarankan kerajaan persekutuan, tegas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus hari ini.

Beliau dipetik berkata, pengurangan penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang itu akan melibatkan kira-kira 475 perjawatan dari jumlah keseluruhan 9,504 dalam fasa antara 2019 dan 2021.

Walau bagaimanapun, beliau meyakinkan orang ramai bahawa proses pengurangan itu tidak akan melibatkan pemberhentian kakitangan awam yang sedia ada sebaliknya melalui beberapa peringkat, seperti menghapuskan jawatan yang belum diisi selama dua tahun.

“Kerajaan berhasrat untuk mengurangkan lima peratus daripada keseluruhan fasa, seperti satu peratus tahun ini dan masing-masing dua peratus pada tahun 2020 dan 2021,” katanya ketika berucap pada perhimpunan khidmat awam bersama Ketua Menteri Pulau Pinang di sini.

Beliau berkata langkah-langkah lain termasuk penyumberan luar, penyampaian perkhidmatan alternatif, penswastaan, pemisahan badan berkanun, automasi dan penempatan pekerjaan yang berhemat berdasarkan keperluan semasa.

Beliau berkata langkah rasionalisasi adalah tepat pada masanya kerana kos pentadbiran untuk kerajaan dari segi penyediaan emolumen untuk perkhidmatan awam telah meningkat dengan begitu ketara.

“Setiap tahun, kenaikan pangkat telah meningkatkan kos pentadbiran kerajaan,” katanya.

Beliau berkata penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi akan dapat memberi sokongan kepada langkah rasionalisasi dengan mengurangkan pergantungan kepada sumber manusia.

Beliau kemudiannya mengingatkan kakitangan awam tentang kepentingan integriti.