Kerajaan Pusat Kurang Komited Terhadap Sekolah Daif Sarawak – Nancy Shukri

145

KUCHING: Kerajaan persekutuan tidak memberikan komitmen yang tinggi dalam menyelesaikan isu pendidikan di Sarawak, khususnya melibatkan sekolah-sekolah daif yang amat memerlukan perhatian mereka.

Ahli Parlimen Batang Sadong Dato Sri Nancy Shukri berkata, segala yang berlaku sekarang adalah Pakatan Harapan (PH) bukannya menjalankan tugas sebagai sebuah kerajaan, sebaliknya terus ghairah berpolitik.

“Saya ambil contoh Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Man, Simunjan yang sudah diluluskan bajet dan tender hendak dikeluarkan semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Tetapi selepas pilihan raya, tiada tindakan daripada pihak berkaitan. Saya bahas di dewan (Parlimen), minta Menteri Pendidikan meninjau ke Simunjan, dan susuli dengan surat kepada Menteri Pendidikan dan juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

“Komitmen menteri untuk meneruskan projek memang nampak tetapi sehingga hari ini masih belum diketahui apa yang akan berlaku.

“Nampaknya dari dulu sehingga sekarang tiada perbezaan prosedur bekerja di Malaysia Baru, walaupun dengan gahnya mengkritik kerajaan lama,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Nancy menambah, cara kerajaan PH mengendalikan hubungan dengan Sarawak khususnya dalam membangunkan pendidikan juga tidak konkrit.

Merujuk janji Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, Nancy berkata beliau (Chong) telah berjanji bahawa Sarawak akan mendapat 30 peratus daripada Belanjawan Negara, tetapi ia sebaliknya.

Berbanding kerajaan Sarawak katanya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah memperuntukkan sebanyak RM81.7 juta khusus untuk menaik taraf 1,020 sekolah daif dengan 415 adalah kritikal, iaitu jauh lebih besar daripada belanjawan kerajaan pusat untuk kesemua sekolah daif yang hendak dibina semula mahupun ditambah baik di seluruh Malaysia iaitu RM100 juta.

“Janji PH sebelum PRU14 untuk Sarawak begitu memberangsangkan tetapi setelah menang, kita menyaksikan satu suasana politik yang tidak kesampaian, dendam membara kerana Sarawak tidak menyokong mereka,” katanya.

Menurut Nancy, Sarawak merupakan sebuah wilayah yang mana landskapnya amat mencabar sekali, dengan berkeluasan 124,451 kilometer persegi mengandungi lautan serta daratan hijau yang begitu luas.

Namun katanya, di negeri ini pembinaan sekolah dapat dilihat di setiap pelosok daerah walaupun terletak jauh di pedalaman, sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan terdahulu dalam memberi keutamaan kepada pendidikan.

Nancy menceritakan pernah sebuah sekolah rendah di kawasannya hanya mempunyai 11 pelajar dan guru serta kakitangan melebihi bilangan pelajar tersebut, namun kerajaan pada ketika itu tidak mahu menutup sekolah tersebut walaupun kos operasi dan penyelenggaraannya begitu tinggi sekali.

“Saya difahamkan atas sebab-sebab tertentu kerajaan tidak menutup sekolah itu dan antara sebabnya ialah penduduk kampung yang terpencil menyatakan kalau ditutup sekolah maka mereka kesunyian,” katanya.

Beliau menambah, satu lagi situasi di mana dua sekolah berdekatan sepatutnya disatukan kerana jalan raya menghubungkan sekolah sudah baik dan kos operasi sekolah yang mana pelajar tidak sampai 100 orang, jika dicantumkan dan dirobohkan satu daripadanya, kerajaan boleh menjimatkan kos.

Tetapi sekali lagi katanya, kerajaan menyerahkan kepada penduduk kampung untuk membuat keputusan kerana keutamaan kerajaan pada waktu itu adalah untuk anak-anak dari kampung diberi pendidikan.