Kerjasama UMNO-PAS: Kenyataan Dikeluarkan Lim Guan Eng Dangkal Dan Bahaya

185

Kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa konon kerjasama yang kini dibentuk secara rasmi antara UMNO dan PAS sebagai ‘perang’ terhadap orang bukan Melayu-Islam merupakan dakwaan jahat dan rasis.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kenyataan biadap daripada Guan Eng itu berpotensi merosakkan keharmonian kaum di negara ini apabila terlalu mudah menganggap penyatuan kaum Melayu yang merupakan tiang seri negara sebagai isyarat ‘perang’.

“Sejak bila perpaduan orang Melayu mahu ‘memerangi’ kaum lain? Bukankah keharmonian Malaysia selama ini, sedikit sebanyak berteraskan kepada perpaduan orang Melayu yang menjadi majoriti di negara ini?

“Pandangan dangkal dan bahaya seperti Guan Eng ini ibarat menolak semangat Perlembagaan Persekutuan dan asas kepada perpaduan negara. Inilah ‘penyakit’ dan ‘kudis’ kepada Malaysia Baharu. Kita boleh nampak jelas – punca kudis politik degil dan jahat ini,” katanya melalui kenyataan media pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Reezal yang juga ahli Parlimen Kepala Batas berkata kenyataan Guan Eng itu juga sarat dengan niat tersirat untuk memecah belahkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu.

Beliau turut mengingatkan Setiausaha Agung DAP itu untuk mempelajari adab sebelum mengeluarkan kenyataan seperti itu,

“Kita juga faham, lebih celupar dan cauvinis, maka lebih ‘hero’lah seseorang itu di mata ‘komrad’ mereka.

“Guan Eng perlu lebih hati-hati dengan kenyataan yang dibuat. Jangan terlalu celupar. Jangan hidup di dalam dunia politik sempit dan terlalu cauvinis,” katanya.