Kesatuan Pekerja Proton Dakwa Peralihan Kilang Ke Tanjung Malim Adalah Satu Muslihat Pembuangan Kerja

227

Semalam, pihak kesatuan telah mengeluarkan satu memo rasmi kepada pihak pengurusan tertinggi Proton dan dari salinan yang kami terima, pihak Kesatuan mengatakan proses pemindahan pekerja dari kilang di Shah Alam ke Tanjung Malim sebagai “satu muslihat tidak telus dan mengelirukan”.

Di bawah ialah senarai masalah-masalah yang dibangkitkan oleh pihak kesatuan kepada pengurusan Proton.

1. Pembuangan pekerja secara terancang (Constructive Dismissal)

  • Kesatuan itu mendakwa pemindahan untuk kilang X70 ke Tanjung Malim hanya memerlukan kakitangan yang berdaya saing dan pantas.
  • Namun begitu, pekerja-pekerja yang dipilih adalah terdiri dari kalangan yang berstatus “unfit” dan mempunyai surat “light duty” samada  secara “temporary” atau “permanent”.
  • Dalam masa yang sama, Proton dikatakan menggantikan pekerja yang berpindah itu dengan pekerja lain dan mereka menjalankan proses kerja yang sama seperti sebelumnya.
  • Kesatuan juga berkata tindakan pengurusan Proton adalah bercanggah dengan Per 43 A, Skel Gaji dan Gred, Perjanjian Bersama.
  • Kesatuan mengingatkan pihak pengurusan bahawa ia menyokong penuh usaha-usaha menyusun semula dan menambah-baik prestasi semasa syarikat dengan syarat pekerja tidak dianiaya.
  • Kesatuan berharap pemilihan pekerja dibuat secara telus dan penuh kesungguhan dan tidak menggunakan kaedah yang menyerupai tindakan untuk mengurangkan pekerja secara terancang tanpa apa-apa bayaran pampasan.


2. Kilang X70

  • Kesatuan turut berkata hasil lawatan mereka ke Tanjung Malim mendapati kilang itu masih dalam pembinaan dan belum boleh beroperasi sepenuhnya.
  • Kesatuan telah memaklumkan kepada pihak Syarikat akan kebimbangan berkaitan keselamatan pekerja yang diarahkan bertugas di dalam kilang yang belum mendapat kelulusan pihak berwajib.
  • Mereka memohon penjelasan dari pihak Syarikat berkaitan isu keselamatan ini.


3. Kebajikan pekerja

  • Menurut memo tersebut, rata-rata pekerja yang dipindahkan sebelum ini adalah dalam kategori penerima Bantuan Sara Hidup dan mereka ini berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.
  • Mereka tidak mampu membeli dan menyediakan rumah untuk tempat tinggal yang baharu di Tanjung Malim, mahupun mendapat kemudahan pinjaman.
  • Jika adapun, mereka masih perlu membayar pinjaman rumah sedia ada di Lembah Kelang.
  • Kesatuan tidak nampak usaha-usaha untuk sediakan kemudahan tempat tinggal di kawasan berhampiran kilang Tanjung Malim dan ini memberikan tekanan emosi kepada pekerja dan keluarga mereka.

4. Perpindahan Pekerja

  • Kesatuan mendakwa pemindahan yang dibuat oleh syarikat tidak seperti mana yang dirancang dan dilakukan dalam tergesa-gesa.
  • Kesatuan juga telah diberitahu syarikat akan kriteria pekerja yang diperlukan di Tanjung Malim:
    • Umur pekerja di antara 18-35 tahun
    • Kesihatan dan keadaan fizikal pekerja
    • Bidang kepakaran kerja dan tugasan pekerja
    • Prestasi pekerja yang terpilih
  • Namun begitu, pihak Kesatuan mendakwa semua kriteria itu tidak dipatuhi oleh Syarikat bagi pekerja yang dihantar ke Tanjung Malim dalam bulan Mei 2019.
  • Pihak kesatuan memberikan cadangan dan kriteria seperti berikut:
    • Line speed perlu selaras dengan kemampuan tenaga kerja. 
    • Perancangan perubahan perpindahan hendaklah dinyatakan dengan jelas kepada Kesatuan.
    • Kebajikan pekerja seperti tempat tinggal, pengangkutan dan lain-lain hendaklah diambil tindakan yang serius oleh Syarikat.
    • Notis Pemindahan hendaklah diberi kepada pekerja dengan tempoh yang amat sesuai.

Pihak kesatuan akhirnya mencadangkan proses pemindahan pekerja ke Tanjung Malim ditangguhkan serta merta sehingga segala isu-isu tersebut diselesaikan.

Menurut sumber-sumber Careta, sebilangan besar tenaga kerja mahir di sektor tertinggi di Proton juga khuatir dengan pengurusan baharu.

“Perancangan produk jangka masa panjang yang pernah dikongsi bersama media dahulu sudah banyak kali bertukar dalam masa setahun,” ujar seorang dari mereka.

“Seperti ada agenda yang mereka tidak mahu kongsi dengan pekerja-pekerja tempatan. Lebih menghairankan, pemegang saham terbesar Proton langsung tidak ambil endah,” sambungnya.

Masalah dengan pihak Kesatuan berkaitan proses perpindahan ini memang sudah dijangka oleh Careta namun ketika itu, pihak pengurusan Proton memberitahu Careta bahawa Kesatuan tidak ada masalah dan sangat memahami apa yang perlu dikorbankan.

Namun begitu, apa yang difahamkan dari memo Kesatuan Pekerja, dilihat perubahan dilakukan dan tidak seperti apa yang dijanjikan sebelum ini sehingga pihak Kesatuan bangkit untuk meminta keadilan.

Proses pengurangan pekerja dalam sektor pembinaan automotif memang berlaku di seluruh dunia termasuk di Malaysia tetapi ia dilakukan dengan cara profesional dan dengan pemberian pampasan yang adil.

Agensi-agensi kerajaan perlu melihat proses ini berlaku kerana Proton mempunyai rakan kongsi yang sangat berkuasa dan berlainan dari rakan-rakan kongsi yang pernah dialami oleh negara sebelum ini. 

Sikap “benefit of the doubt” perlu sentiasa ada kerana kita perlu melindungi rakyat kita sendiri dalam apa jua keadaan. 

Diharapkan agar pinjaman RM1.88 billion yang diterima oleh Geely dari Bank Pembinaan China nanti mampu membantu menyelesaikan masalah pekerja Proton kelak.