“Lim Guan Eng Yang Ikut Cakap Saya, Bukan Saya Ikut Cakap Lim Guan Eng”

797

Dr Mahathir Mohamad mengakui kempen kumpulan penentangnya menggambarkan beliau mengikut telunjuk Lim Guan Eng berjaya mencipta sokongan walaupun pada hakikatnya, keadaan adalah berbeza.

Mahathir menjelaskan sebenarnya semasa dalam kerajaan dulu Lim – ketika itu berkhidmat sebagai menteri kewangan – yang terpaksa mengikut kehendak beliau sebagai perdana menteri.

“Saya sedar wujud kempen untuk (menubuhkan) kerajaan Melayu dan meletakkan saya (kononnya) sebagai duduk di bawah telunjuk Lim Guan Eng.

“Itu nampaknya diterima oleh ramai orang, walhal sebenarnya Guan Eng terpaksa ikut saya.

“Dan banyak apa yang Guan Eng buat tidak menunjukkan bahawa dia begitu anti-Melayu,” katanya dalam temu bual bersama Sinar Online dan disiarkan hari ini.

Lim ialah setiausaha agung DAP yang dilantik menduduki portfolio kementerian kewangan selepas Pakatan Harapan (PH) mengalahkan BN dalam PRU14 dua tahun lalu.

Bagaimanapun pembangkang ketika itu – BN dan PAS – tidak menunggu lama untuk mengkritik kerajaan kerana melantik orang bukan Melayu menjaga kementerian tersebut.

Sentimen yang sama juga dimainkan untuk pelantikan peguam negara, Tommy Thomas.

Jangan bagi Cina langsung

Kata Mahathir, Lim tidak melebihkan komuniti Cina semasa menjaga kementerian kewangan.

Untuk mengelakkan tanggapan negatif, kata Mahathir, Lim merujuk kepada beliau dan penasihat lain sebelum memperkenalkan sebarang dasar baru atau membentangkan Belanjawan 2020.

“Bahkan dasar baharu yang Guan Eng perkenalkan, termasuk dalam Belanjawan 2020, semuanya diserahkan kepada saya untuk saya dan penasihat-penasihat saya semak. Kalau-kalau dia terlalu memihak kepada DAP, kita tidak bersetuju. Kita betulkan tetapi takkan kita tidak bagi langsung,” katanya.

Lim juga, kata Mahathir, memberikan bantuan kewangan kepada Kelantan sebanyak RM400 juta dan RM200 juta masing-masing kepada Terengganu dan Kedah.

“Ini semua kawasan Melayu, bukan di bawah (kerajaan negeri) PH tetapi dia bagi dan banyak lagi kita nak minta supaya diberi keutamaan kepada Melayu, dia bagi,” katanya.

Baca Macam berdosa pula berkata benar, kata Guan Eng

Mahathir menambah kerajaan ketika itu mahu memberikan bantuan lebih banyak kepada Melayu tanpa menafikan sedikit sumbangan kepada orang Cina.

Bagaimanapun sesetengah pihak tidak bersetuju dengan pengagihan itu.

“Kalau kita bagi RM1 bilion kepada Melayu, pada orang Cina tidak boleh ke bagi RM100 juta, atau satu per sepuluh?

“Tetapi nampak ramai juga daripada mereka yang semak berpendapat jangan bagi langsung pada orang Cina. Itu tidak boleh. Saya tidak boleh terima,” katanya.

Sebab itu, kata Mahathir, beliau kalah dan ditolak semasa bermesyuarat dengan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.