Ketirisan RM500j Land Swap, Tiada Keperluan Lapor Polis – Mat Sabu

255

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mendapati tiada keperluan untuk membuat laporan polis berhubung kes kerugian lebih RM500 juta bagi urus niaga penswastaan memajukan tanah miliknya.

Menterinya, Mohamad Sabu, berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan itu secara menyeluruh.

“Setakat ini, kita dapati kes kerugian tanah itu tiada kaitan dengan polis dan kementerian serahkan kepada kebijaksanaan SPRM untuk kendalikan kes ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang serta Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang 2019 Kementerian Pertahanan, di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Halimi Abd Manaf dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Pada 21 Februari lalu, Kementerian Pertahanan membuat laporan dan menyerahkan hasil siasatan urus niaga dua daripada 16 projek ‘land swap’ atau pertukaran tanah miliknya yang menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan serta mengancam kepentingan strategik pertahanan negara.

Laporan dan penyerahan hasil siasatan dibuat oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Kepada Menteri Pertahanan, Mohd Nasaei Ismail, di SPRM, Putrajaya.

Kementerian meminta SPRM menyiasat pihak berkaitan terutama dalam pentadbiran lalu yang terbabit secara langsung dalam memutuskan projek berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), berkata Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) kekal dengan pendirian mereka sebelum ini untuk menyokong penuh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

“Tiada masalah (beri sokongan kepada Dr Mahathir untuk terus menjadi Perdana Menteri), isu itu timbul daripada orang luar (kononnya Dr Mahathir akan berdepan usul undi tidak percaya dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang pada sidang Dewan Rakyat nanti).

“Itu hanya spekulasi, kita nak jawab pun susah, PH tetap dengan pendirian seperti sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, spekulasi kononnya akan berlaku undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir timbul selepas pertemuannya dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam pertemuan itu, Dr Mahathir mendedahkan Abdul Hadi menandatangani perjanjian yang PAS akan menyokong dirinya sebagai Perdana Menteri jika berlaku usaha menyingkirkannya melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat.