Ketua Pemuda PH Perak Nasihat Pas Jangan Berkhayal Untuk Rampas Perak

291

Pas dinasihatkan jangan terlalu ‘berkhayal’ untuk merampas kerajaan negeri Perak.

Menurut Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Perak, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim, Pas dilihat sanggup membuat spekulasi jahat yang memberi kesan negatif kepada rakyat dan ekonomi di negeri itu.

“Jangan sesekali cuba menggunakan kaedah yang tidak demokratik seperti yang dilakukan oleh pasangan yang baru dikahwini mereka iaitu UMNO/BN pada tahun 2009 yang lalu hingga menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang diketuai oleh Pas sebagai menteri besar pada ketika itu.

“Kami juga ingin berpesan kepada masyarakat agar tidak terpengaruh dengan khabar angin kononnya akan berlaku sekali lagi peralihan kuasa di negeri Perak seperti yang berlaku pada tahun 2009 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong itu, kerajaan negeri Perak yang dibina atas kerestuan Sultan Perak itu kukuh dan tidak berlaku sebarang permasalahan seperti yang digembar-gemburkan oleh pembangkang ketika ini.

Wakil rakyat pihak kerajaan negeri sangat komited memberi sokongan penuh kerajaan yang dipimpin oleh Menteri Besar (MB) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, katanya.

Malah dua wakil rakyat yang dikaitkan dalam spekulasi itu iaitu ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi telah menafikannya bekerjasama dengan Pas untuk merampas kerajaan negeri.

“Kedua-duanya memberi komitmen yang tinggi kepada kerajaan PH Perak ketika ini,” kata Hasnul Zulkarnain.

Zainol yang juga Penasihat kepada Menteri Besar Perak itu juga telah menafikan dakwaan yang tular kononnya beliau dipanggil menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin bagi mendapat perkenan untuk menggantikan Ahmad Faizal sebagai MB Perak. – MalaysiaGazette