Khalid Mengaku Lantik SU Politik Dikait Rasuah Sebagai Ahli Lembaga Penasihat DBKL

573

BEKAS Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad mengakui melantik bekas setiausaha politiknya, Azli Yusuf yang kini disiasat kes rasuah sebagai Ahli Lembaga Penasihat DBKL.

Khalid juga mengakui Azli merupakan Ketua Amanah Kawasan Shah Alam sejak tahun 2015 dan bakal pimpinan pelapis yang akan mengantikannya.

Menurut Khalid, jawatan yang disandang Azli adalah non-executive dan hanya berfungsi menasihati Datuk Bandar dalam isu-isu dasar. Jelas beliau, Lembaga tersebut tidak memberi kelulusan untuk apa-apa permohonan.

“Ya saya yang lantik kerana dia berpengalaman sebagai Ahli Majlis MBSA selama dua sesi dan merupakan seorang profesional lulusan Kejuruteraan dari sebuah Universiti Amerika.

“Dengan Pengalaman dan ilmunya dia dipercayai boleh menasihati Dato Bandar DBKL dalam banyak persoalan,” kata Khalid dalam blognya.

Khalid menjawab soalan yang dilontarkan oleh bekas Perdana Meteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertanyakan sama ada Azli merupakan setiausaha politik beliau.

Najib juga bertanya sama ada Khalid yang melantik Azli ke jawatan tersebut dan adakah Azli merupakan Ketua Bahagian PAN Shah Alam. Khalid turut menjawab soalan Najib berkaitan makna broker.

“Maksud ‘broker’ adalah orang seperti Jho Low. Takkan Jib tak tahu? Bukankah Jib dikatakan banyak gunakan khidmat beliau untuk bantu Melayu khususnya di Parlimen Pekan?

“Hanya dalam kes ni broker itu mendakwa dia wakili Hj. Azli. Tetapi ianya tak benar. Bukan seperti kes Jho Low yang dikatakan amat rapat dengan Jibby. Saya sertakan gambar sekiranya lupa,” kata Khalid.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad sebelum ini mengesahkan menahan bekas setiausaha politik Khalid serta sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung aduan sebuah firma arkitek mengenai arahan pembangunan (DO) palsu.

Ketiga-tiga mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Mohd Zakaria bagaimanapun enggan mengulas lanjut.-SM