Khalid Mohon Kabinet Baharu Pertimbang Teruskan Pelan Pembangunan Kampung Baru

377

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berharap barisan Kabinet baharu yang akan dilantik pada petang ini akan meneruskan Pelan Pembangunan Kampung Baru di Kuala Lumpur dan tidak membatalkannya.

Beliau berkata ini kerana menerusi perjumpaan yang dijalankan pihak Perbadanan Pembangunan Kampong Bahru (PKB), lebih 60 peratus daripada 5,374 pemilik tanah di kampung berkenaan telah bersetuju untuk menjual tanah mereka bagi menjayakan pelan pembangunan berkenaan.

“Jumlah (lebih) 60 peratus yang bersetuju ini melibatkan keluasan tanah seluas kira-kira 32.3 hektar (80 ekar) daripada jumlah keluasan Kampung Baru seluas 60.7 hektar (150 ekar), jumlah ini kita dapat setakat perjumpaan terakhir dijalankan pihak PKB pada pertengahan Februari lepas,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan harga tawaran baharu pembelian tanah Kampung Baru bernilai RM1,000 setiap satu kaki persegi berbanding RM850 sebelum ini.

Bersandarkan harga baharu itu, RM850 secara pulangan tunai, manakala baki RM150 berbentuk pegangan saham dalam Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak.

Khalid berkata, beliau turut berharap Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu akan menyelesaikan status Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) yang menurutnya mengutip yuran dan bayaran daripada penduduk Kampung Baru walaupun tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

“MAS ini ibarat sebuah dewan bandaraya dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kita harap menteri baharu nanti dapat selesaikannya,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembahkan senarai barisan Jemaah Menteri baharu kerajaan.

Pada 29 Feb, Al-Sultan Abdullah berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Muhyiddin itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, setelah Seri Paduka berpandangan Ahli Parlimen Pagoh itu mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat, selepas hampir seminggu krisis politik negara berlaku. — Bernama