“Khamis Ini, Saya Naik Kereta Terbang”, kata Menteri

321

MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof mengesahkan beliau akan melakukan ujian memandu dan menaiki ‘kereta terbang’, Khamis ini.

Mohd Redzuan memaklumkan perkara itu pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

“Saya nak ulangi jemputan saya, hari Khamis ni saya akan naik kereta terbang.

“Saya jemput kalau Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) nak datang… ambil gambar dan duduk sebelah pun boleh,” katanya.

Mohd Redzuan berkata, beliau menasihatkan kepada semua pihak supaya tidak menidakkan kemajuan serta memperlekehkan inovasi anak muda negara.

Katanya, industri mobiliti udara adalah idea yang dicetuskan anak muda.

“Ini anak muda punya idea, anak muda yang disebut belia ini yang bawa hobi ini.

“Justeru, hari ini kita menggalakkan sekolah supaya menggalakkan pelajar terbabit dalam kemahiran mobiliti udara,” katanya.

Mengakhiri sesi penggulungan itu, Mohd Redzuan sekali lagi menjemput ahli Parlimen yang berkelapangan untuk hadir pada sesi ujian memandu kereta terbang itu yang dijadualkan 2 petang di Lapangan Terbang Sultan AbdulAziz Shah, Subang, Khamis ini.

“Saya jemput kalau ada masa dan tiada persidangan (sidang Dewan Rakyat)… sila datang ke Subang,” katanya.

Selain itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof turut mencelah dan mengadu bahawa beliau tidak dijemput untuk menyaksikan sesi ujian memandu itu.

“Terima kasih Yang Berhormat Menteri tapi speaker tidak dijemput lihat kereta terbang,” katanya.

Mohd Redzuan kemudian membalas: “Saya jemput semua kalau ada masa dan tiada persidangan (sidang Dewan Rakyat) lepas 2 petang… sila datang ke Subang,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) turut bertanyakan sama ada beliau boleh mengikuti sama sesi ujian itu.

“Arau boleh ikut tak?” katanya.

Mohd Redzuan kemudian menjawab: “Berapa berat badan?