“Khuatir Dengan Keselamatan Dirinya, Syazlin (Peguam Bomba) Mengundur Diri,” kata Sumber.

390

PEGUAM Syazlin Mansor menarik diri daripada mewakili pihak berkepentingan dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dipercayai berpunca daripada tekanan pihak tertentu.

Difahamkan, keputusan itu dibuat Syazlin selepas beliau menerima surat daripada pihak berkenaan, baru-baru ini.

Syazlin sebelum ini mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan keluarga anggota bomba itu selama 36 hari dalam prosiding inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Menurut sumber, selain peguam itu, KPKT turut menerima tekanan sama sehingga kedua-dua pihak memutuskan supaya Syazlin menarik diri daripada inkues itu.

“Khuatir dengan keselamatan dirinya, Syazlin mengundur diri,” katanya.

Menurut sumber itu, Syazlin tegas ketika mewakili pihak berkepentingan sepanjang 36 hari prosiding inkues berjalan.

“Ini menyebabkan ada pihak tertentu yang tergugat,” katanya.

Sementara itu, Syazlin yang ketika ditemui selepas tamat prosiding enggan mengulas lanjut.

Syazlin pada prosiding inkues pagi tadi mengumumkan menarik diri dari mewakili pihak berkepentingan bagi inkues kematian Muhammad Adib.

Berikutan itu, Koroner Rofiah Mohamad menetapkan 26 Jun depan sebagai sebutan inkues.