Konsert “Reunion” Exist Bakal Satukan Ezad dan Mamat

529

KUALA LUMPUR: Impian peminat untuk melihat kehebatan dua vokalis Exist, Mamat dan Ezad Lazim berentap di pentas bakal menjadi kenyataan, tidak lama lagi.

Pemain keyboard kumpulan itu yang juga komposer dan penyanyi, Ajai, 43, berkata pertemuan dengan anggota asal Exist, bulan lalu membuahkan hasil positif apabila mereka bersedia untuk bergabung semula dalam konsert.

Ajai berkata, idea menggabungkan dua vokalis itu tercetus selepas mengambil kira pandangan peminat yang mahukan semua anggota Exist, termasuk Mamat dan Ezad beraksi bersama di pentas yang sama.

“Alhamdulillah, atas perbincangan bersama, konsert ini akan direalisasikan selepas hampir 25 tahun kami tidak bergabung.

“Tidak mudah untuk menyatukan semua, terutama Mamat yang sudah menyepikan diri. Alhamdulillah, selepas berbincang, dia sudi kembali untuk konsert ini,” katanya.

Ajai yang ditemui pada majlis santai bersama media sempena pelancaran single dan muzik video, Buku Putih SR feat Ajai, baru-baru ini berkata, mereka akan terlebih dulu beraksi dalam sebuah majlis anugerah, bulan depan.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 1989 itu seterusnya akan membuat persembahan sempena konsert reunion di Angkasapuri, RTM, disusuli Esplanade, Singapura.

Ajai berkata, dia turut menghasilkan sebuah lagu duet yang menampilkan Mamat dan Ezad, khusus untuk menghangatkan lagi konsert itu.

“Kami masih menunggu Shah selesai dengan projek Slam untuk memulakan sesi latihan. Saya pujuk Mamat, tahun lalu dan ingatkan dia sudah tidak berminat menyertai projek ini.

“Ini bukan konsert Exist kembali semula dalam industri muzik, sebaliknya lebih kepada projek khas bagi mengembalikan kenangan bersama peminat.

“Selepas lebih dua dekad, lagu Exist masih relevan dan ramai mengharapkan untuk melihat kami kembali bersatu dalam sebuah persembahan.

“Ramai yang menjangkakan sesuatu yang menarik akan berlaku dalam konsert ini, terutama dari segi pemilihan lagu, muzik dan paduan suara dua vokalis ini,” katanya.

Exist yang turut dianggotai Ujang, Along, Musa dan Shah popular dengan lagu seperti Rahsia Pohon Cemara, Untukmu Ibu, Alasanmu, Jesnita dan Mengintai Dari Tirai Kamar.