KPN Suarakan Hasrat “Undur Diri” Secepat Yang Mungkin?

737

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, beliau tidak melihat dirinya berkhidmat lebih lama dalam pasukan polis kerana berhasrat untuk mengundurkan diri “secepat yang mungkin”.

“Saya tidak sabar untuk pergi secepat mungkin. Secara jujur saya tidak menjangkakan tinggal lama,” katanya dipetik laporan Benar News hari ini.

Beliau dilantik sebagai ketua polis negara pada Mei tahun ini secara kontrak selama 2 tahun menggantikan Mohamad Fuzi Harun.

Dalam temu bual khas itu, Abdul Hamid berkata tugasnya selama 2 tahun itu adalah “lebih daripada cukup” untuk memastikan pasukan polis dalam keadaan “bersih”.

“Apabila saya mendapati masa yang tepat untuk saya pergi, walaupun sebelum kontrak berakhir, saya akan pergi,” katanya ketika ditanya berapa lamakah beliau menjangka akan berkhidmat sebagai ketua polis negara.

“Saya tidak minta jawatan ini. Walaupun apabila orang berkata saya akan menjadi ketua polis, saya kata tidak mungkin. ”

Tetapi katanya, apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sendiri bertanya kepadanya, beliau tidak boleh berkata “tidak” kepada permintaan tersebut.

“Pada masa ini, kerana semua orang sedang bercakap tentang pasukan polis yang lebih baik dan bersih, kementerian bersih dan kerajaan bersih, sudah tentu, saya merasakan ia menjadi tugas saya untuk menjadikannya berfungsi (seperti itu).”

Hamid juga berkata Jabatan Integriti dan Pematuhan Piawaian Polis membuat pemeriksaan secara aktif bagi menentukan sama ada terdapat pegawai polis terlibat dalam perjudian, penyalahgunaan dadah dan rasuah.

“Ratusan telah ditangkap. Sekarang, kami minta lebih banyak kakitangan daripada kerajaan. Saya minta 1,000 kakitangan tambahan untuk memeriksa 131,000 anggota. “