Lawatan Tun M Ke Pakistan Burukkan Hubungan Baik Dengan India

445

KUALA LUMPUR – Lawatan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Pakistan dilihat memburukkan lagi hubungan Kuala Lumpur dan New Delhi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, pihak Kementerian Luar sepatutnya memberikan nasihat kepada Mahathir mengenai ketegangan dua negara berkenaan yang sedang bergolak.

“Tak akan tak penasihat kementerian luar menasihatkan PM tentang isu ini sebelum buat keputusan untuk buat lawatan ke Pakistan tempohari?

“Ramai yang tidak tahu negara India adalah salah satu negara yang banyak beli minyak sawit daripada negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahathir membuat lawatan rasmi ke Islamabad pada Khamis lalu atas jemputan rakan sejawatannya Imran Khan sebagai tetamu khas sempena Hari Pakistan yang disambut pada 23 Mac setiap tahun.

Dalam satu laporan, Mahathir didapati terpaksa mengikuti laluan penerbangan yang lebih jauh ketika melakukan perjalanan ke Pakistan pada Khamis lalu selepas laluan penerbangan asalnya tidak diluluskan.

Justeru, Armand menasihatkan agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) segera mencari insiatif dalam menyelesaikan hubungan dengan kedua-dua negara.

“Jika dibiarkan saya risau hubungan dua hala akan terjejas malah ianya juga boleh membatalkan pembelian minyak sawit daripada negara kita seterusnya akan menjejas ekonomi negara kita dalam eksport minyak sawit keluar negara,” katanya lagi.

Akhbar berpengkalan di Pakistan, The News International dalam laporannya menuduh Perdana Menteri India Narendra Modi menolak untuk meluluskan penerbangan Mahathir melalui ruang udara India.

Bagaimanapun, kedua-dua Pakistan dan India saling tuding-menuding mencari salah negara manakah yang bertanggungjawab menjadikan pesawat Airbus ACJ319 yang menerbangkan Dr Mahathir terpaksa mengikuti laluan penerbangan yang lebih jauh.