‘Lebai’ Berkopiah Sembah Berhala Dicekup Polis

466

BAGAN SERAI: Lelaki berpakaian seperti ‘lebai’ dan menyembah berhala ‘Datuk Kong’ seperti dalam rakaman video yang tular baru-baru ini, ditahan oleh sepasukan anggota polis, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, kira-kira jam 5 petang.

Menurutnya, lelaki bukan beragama Islam dan kelihatan berpakaian seperti seorang muslim dalam klip video yang tular itu, berasal dari Bagan Selatan dekat Tanjung Piandang, Parit Buntar.

“Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung klip video yang tular baru-baru ini.

“Tiada sebarang rampasan dibuat kerana pakaian yang dipakai oleh lelaki berkenaan seperti dalam rakaman video yang tular, sudah dibuang oleh individu yang tidak dikenali,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Omar Bakhtiar berkata, lelaki itu kini ditahan dalam lokap Balai Polis Bagan Serai dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Parit Buntar pagi esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.