Lebih Tumpukan Pengambilalihan Konsesi Tol, Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Ditunda

358

Semalam, Menteri Kerja Raya, Baru Bian mengesahkan bahawa beberapa kerja penyelenggaraan jalan persekutuan terpaksa ditunda disebabkan kekurangan peruntukan yang disalurkan kepada Kementerian tersebut.

Portal Paultan.org melaporkan;

Menteri Kerja Raya Baru Bian telah mengesahkan kerja-kerja penyelenggaraan di beberapa jalan Persekutuan di negara ini terpaksa ditunda berikutan kurangnya peruntukan.

Menurutnya, kementerian itu tidak dapat menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dengan berkesan kerana hanya memperoleh peruntukan sebanyak RM100 juta untuk penyelenggaraan jalan-jalan Persekutuan di seluruh negara dalam Belanjawan 2019. Di mana sejak 2015, peruntukan penyelenggaraan dikurangkan berbanding keperluan sebenar iaitu kira-kira RM2 bilion setahun, laporan Bernama.

“Sejak 2015, kementerian menerima peruntukan kira-kira RM600 juta hingga RM800 juta setahun. Namun, mulai tahun ini ia dikurangkan kepada RM100 juta,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Walau bagaimana pun, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memohon peruntukan tambahan kepada Kementerian Kewangan sebanyak RM610 juta bagi menampung keperluan melaksanakan penyelenggaraan jalan raya.

Baru berkata kira-kira 35% daripada 17,771.42 km jalan Persekutuan didapati mengalami masalah ‘crocodile crack’ akibat kurangnya penyelenggaraan mengikut jadual. ‘Crocodile crack’ merujuk kepada keadaan jalan yang rosak akibat rekahan dan retakan pada permukaannya berikutan kekerapan penggunaan oleh kenderaan yang membawa muatan berat.

Antara jalan Persekutuan yang sering mengalami kerosakan serius ialah di jalan Telupid-Sandakan di Sabah dan jalan menuju ke Pelabuhan Klang di Selangor. Kerosakan berpunca daripada volum kenderaan tinggi yang melalui jalan tersebut selain kenderaan berat seperti lori dan treler membawa muatan melebihi had ditetapkan.

Dalam tempoh 2016 hingga Julai 2018, sebanyak 15,594 aduan awam diterima KKR dengan 50% atau 7,987 adalah berkaitan isu penyelenggaraan jalan.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Baru Bian, dapat dicongak peruntukan yang disalurkan kepada kementerian itu berkurangan dengan mendadak diantara RM500juta hingga RM700juta jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya.

Umum mengetahui, jalan persekutuan dilihat merangkumi semua negeri yang terdapat di dalam negara ini. Sejajar itu, adalah lebih rasional sekiranya peruntukan yang disalurkan menepati kehendak Kementerian Kerja Raya kerana nikmat akan dirasai oleh segenap lapisan rakyat.

Namun begitu, usaha Kementerian Kewangan yang dinaungi oleh Lim Guan Eng dilihat lebih tertumpu untuk mengambil alih beberapa konsesi tol yang hanya akan memanfaatkan sebahagian kecil rakyat, terutamanya yang tinggal di bandar-bandar besar.

Utusan Online melalui artikelnya bertarikh 28 Februari melaporkan;

PUTRAJAYA 26 Feb. – Kerajaan menjangkakan pengambilan empat lebuh raya bertol iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart akan mengambil masa enam bulan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tempoh tersebut adalah untuk memenuhi kesemua keperluan pengawalseliaan, kewangan dan undang-undang.

“Apabila pengambilalihan konsesi empat lebuh raya ini dimuktamadkan, kerajaan akan menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada dan menggantikannya dengan model baharu iaitu caj kesesakan.

“Caj kesesakan adalah caj boleh ubah yang bergantung kepada masa penggunaan sekali gus menggalakkan pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan mereka pada waktu luar puncak dan mengurangkan kesesakan lalu lintas semasa waktu puncak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut Guan Eng berkata, unjuran awal menganggarkan pengguna empat lebuh raya berkenaan akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun dengan peralihan daripada kutipan tol kepada caj kesesakan.

Katanya, kutipan caj kesesakan itu nanti mencukupi untuk membiayai bayaran balik pinjaman kos pengambilalihan dan semua kos operasi serta penyenggaraan lebuh raya tanpa memerlukan peruntukan tambahan daripada Kementeri Kewangan.

Justeru katanya, cadangan pengambilalihan lebuh raya itu merupakan penyelesaian ‘menang-menang’ untuk semua pihak terlibat.

“Kerajaan dan pembayar cukai akan jimat RM5.3 bilion dalam bentuk pembayaran pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi akibat pembekuan kadar tol.

“Selain itu pengguna lebuh raya akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun dan juga pengurangan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

“Sebarang lebihan kutipan caj kesesakan akan disalurkan kepada pembangunan dan penyelenggaraan sistem pengangkutan awam,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE

Lim Guan Eng selaku menteri yang bertanggungjawab di dalam perancangan kewangan negara sewajarnya lebih rasional dalam memikirkan perbezaan manfaat diantara kedua-dua isu di atas. Bandingkan manfaat yang akan dinikmati rakyat, adakah nikmat yang akan dinikmati akan dirasai rakyat secara menyeluruh atau hanya dirasai oleh kawasan-kawasan tertentu terutamanya penghuni bandar.