Lebuhraya Pan Borneo Tanpa Tol: Baru Bian Hanya Ulangi Pengumuman Pernah Dibuat Najib

386

SARAWAK: Di dalam majlis perasmian jajaran Telok Melano ke Sematan Le­buh Raya Pan Borneo Sarawak yang berlangsung semalam, Menteri Kerja Raya, Baru Bian sekali lagi mengulangi kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh mantan Perdana Menteri dari Barisan Nasional, Dato’ Seri Najib Razak pada 01 April 2015.

Utusan Malaysia melaporkan;

SEMATAN 26 Jan. – Kerajaan Persekutuan bersetuju tidak akan mengenakan kutipan tol bagi Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak atau Sabah.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, kerajaan baharu pakatan memegang prinsip iaitu mahukan jaringan perhubungan infra yang sama seperti di Semenanjung sesuai dengan aspirasi rakyat Sarawak.Advertisement

“Saya menyifatkan Projek Pan Borneo ini sebagai satu projek kejuruteraan terhebat di Kepulauan Borneo,” katanya dalam majlis perasmian jajaran Telok Melano ke Sematan Le­buh Raya Pan Borneo Sarawak di sini hari ini.

Jajaran Telok Melano sepanjang 33 kilometer itu yang siap sepenuhnya pada 4 Januari 2019 dengan melibatkan kos RM580 juta dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Kilometer 0.00 Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dengan kos keseluruhan RM16.49 bilion, bermula di Teluk Melano dan jajaran berkenaan merentas timur Tempat Lindungan Liar Samunsam.

Baru berkata, kerjasama erat antara kerajaan pusat dan negeri dalam membawa perubahan landskap infra di Sarawak akan terus dilakukan bersama-sama.

Beliau berkata, kewujudan jajaran berkenaan membolehkan peluang ekonomi diteroka di kawasan berpotensi terutama dalam sektor ekopelancongan di Telok Melano yang terletak di hujung selatan Sarawak

Katanya, projek Pan Borneo Sarawak itu akan membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan yang tu­rut menjadi pemangkin kepada ke­majuan Koridor Tenaga Di­perbaharui Sa­rawak (SCORE).

“Seramai 10,300 anak Sarawak terlibat dengan projek ini secara langsung dan tidak langsung dalam pembinaan se­perti kontraktor, perunding, pembekal dan vendor,” kata­nya.

Untuk keseluruhan projek Pan Borneo Sarawak yang dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2021, beliau berkata, ia melibatkan pembinaan 115 jambatan, 25 persimpangan bertingkat, tiga kawasan Rehat dan Rawat serta enam hentian. – BERNAMA


Kenyataan itu memperlihatkan, polisi kerajaan terdahulu terus menjadi kesinambungan yang dijadikan asas dalam menggerakkan kerajaan Pakatan Harapan.

Harian Metro melalui artikel bertarikh 01 April 2015 melaporkan;

Bintulu: Kerajaan memutuskan laluan Lebuhraya Pan Borneo dikecualikan daripada sebarang bayaran tol dan pembinaannya sepanjang 1,076 kilometer di negeri ini dijangka siap menjelang 2023 membabitkan kos keseluruhan RM15 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan pembinaannya sebagai jalan utama di negeri ini yang tidak sama dengan tujuan pembinaan lebuh raya di Semenanjung seperti Lebuhraya Utara-Selatan.

“Kenapa tidak ada tol? Saya nak terangkan tujuan pembinaan lebuh raya ini adalah kerana ia adalah jalan utama di negeri ini, bukan jalan alternatif. Penduduk (Sarawak) tiada pilihan (laluan) jalan lain melainkan jalan ini, sebab itulah tiada tol.

“Di Semenanjung, Lebuhraya Utara-Selatan adalah jalan alternatif, orang ramai boleh menggunakan laluan lain yang diselenggarakan Jabatan Kerja Raya tanpa perlu membayar tol,” katanya pada majlis pelancaran lebuh raya itu di Hentian Rawat dan Rehat Simpang Bakun, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Dalam pada itu, Najib turut memberi jaminan projek berkenaan boleh disiapkan mengikut jadual ditetapkan memandangkan pelaksanaannya berdasarkan kepada konsep Usahasama Kerajaan Swasta (PPP).

Beliau berkata, ia akan membantu meminimumkan risiko kerugian wang kerajaan sekiranya projek lewat disiapkan kerana ia akan ditanggung sepenuhnya pihak yang melaksanakan kontrak pembinaan jalan itu nanti.

“Mereka (kontraktor) akan berusaha sebaik mungkin mematuhi jadual pembinaan ditetapkan kerana perlu menanggung sebarang peningkatan kos disebabkan masalah kelewatan.

“Namun, saya yakin dan bersikap optimis lebuh raya ini dapat disiapkan pada 2023 seperti dijadualkan,” katanya.

Beliau juga menegaskan setiap syarikat kontraktor, subkontraktor dan perunding yang dipilih hanya akan membabitkan anak tempatan dalam kalangan penduduk Sarawak saja.

Menurutnya, pelaksanaannya juga hanya akan mewakili kepentingan semua suku kaum di negeri ini.