Lee Chong Wei Belum Capai Tahap Terbaik

248

Pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, masih lagi jauh daripada tahap terbaik untuk kembali ke pentas kompetitif ketika waktu rehat dimanfaatkan sebaik-baiknya berbanding latihan dalam gelanggang.

Perkembangan itu disahkan jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan, ketika Chong Wei masih lagi menumpukan kepada aspek pemantapan fizikal.

Difahamkan, selagi kecergasan fizikalnya, terutama di bahagian atas badan tidak seperti sebelum dia menjalani rawatan kanser hidung, selagi itu keberkesanannya di dalam gelanggang akan terjejas.

“Latihan Chong Wei lebih bertumpu kepada kekuatan fizikal dan latihan bebanan dalam gimnasium. Terdapat peningkatan yang dipamerkan tetapi dia masih belum berlatih di gelanggang,” katanya.

Selagi itu, perseorangan lelaki akan terus memandang kepada pemain muda untuk mengibar cabaran di pentas antarabangsa.

Lee Zii Jia terus membuktikan kredebiliti apabila melangkah ke pentas suku akhir Masters Indonesia, perlawanan suku akhir ketiganya bagi musim ini selepas Masters Thailand dan Malaysia.

Sementara itu, juara remaja Asia 2017, Leong Jun Hao, membuat kejutan apabila kembali beraksi dalam Purple League kelmarin susulan kecederaan pinggul berpanjangan sejak Julai 2018.

“Kami telah membenarkan Jun Hao beraksi dalam satu perlawanan dan menilai semula keadaan fizikalnya sebelum dibenarkan beraksi dalam perlawanan seterusnya.”