Lim Kit Siang Mengelak Jawab Soalan Berkaitan Siasatan Skandal Forex Yang Diklasifikasi Tiada Tindakan Lanjut

362

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang malam tadi tidak sudi mengulas tentang tanggungjawab kerajaan melaksanakan syor-syor Suruhanjaya Siasatan Diraja tentang skandal urus niaga tukaran mata wang asing 1990-an, seperti digesa veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah awal hari ini.

Ketika ditemui di satu majlis rumah terbuka anjuran DAP di Sentul, Lim tersenyum dan menggelengkan kepalanya apabila diajukan soalan itu.

“Ini bukan tempatnya. Ini (majlis) seni dan sastera,” katanya kepada pemberita di Rumah Terbuka Meraikan Penggiat Seni dan Sastera.

Hadir sama, sasterawan negara, A Samad Said.

Terdahulu, bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan dakwaan Lim mengenai integriti dirinya, mengatakan pemimpin DAP itu berdiam diri selepas kerajaan tidak akan mengambil tindakan lanjut ke atas dapatan RCI.

Najib mengingatkan Lim bertahun-tahun menuduh ada skandal di sebalik kerugian RM31.5 bilion yang dialami Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga mata wang asing pada 1992 hingga 1994 itu.

“Satu sen pun tak dapat kembali. Satu sen aset pun tak ditinggalkan. Lim pula membisu seribu bahasa. Buat-buat tak nampak,” katanya di Facebook.

Lim, ketika ditanya pemberita adakah berdiam diri akan menjejaskan integritinya, hanya menjawab: “Tempat lain lah.”

Semalam di Dewan Rakyat, Menteri Undang-undang Liew Vui Keong memaklumkan “tiada tindakan lanjut” ke atas dapatan RCI itu.

Dalam laporan setebal 400 muka surat yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 30 November 2017, RCI berkata bekas penasihat BNM, Nor Mohamed Yakcop bertanggungjawab atas kerugian itu.

Ia juga berkata urusan forex berlebihan atau spekulasi boleh dihentikan lebih awal dan kerugian ditanggung akan berkurangan atau terkawal, jika Daim Zainuddin, menteri kewangan dari 14 Julai 1984 hingga 15 Mac 1991, lebih bertanggungjawab dan menjalankan penyeliaan lebih teliti.

RCI turut mengesyorkan polis menyiasat Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri ketika itu, Anwar Ibrahim, yang menggalas portfolio kewangan selepas Daim, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.

Sementara itu, Lim, ketika ditanya intipati pertemuannya dengan Mahathir di Pejabat Perdana Menteri pagi tadi, berkata mereka hanya membincangkan urusan negara.

Difahamkan, pertemuan selama 45 minit itu merupakan yang kedua sepertinya selepas Pilihan Raya Umum ke-14.