“Lim Kit Siang Seorang Negarawan…” kata Ketua Dapsy

836

Dari facebook Howard Lee;

PEMUDA PAS IKUT PERANGAI BUSUK TRUMP, INGIN HALAU RAKYAT DARI NEGARA SENDIRI

Saya ingin mengulas kenyataan dangkal dan berbaur cauvanis oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS YB Ahmad Fadhli Shaari. Saranan beliau agar Sdr Lim Kit Siang, seorang negarawan meninggalkan negara ini perlu dikritik sekeras-kerasnya. Saudara Kit Siang merupakan seorang warganegara Malaysia. Tidak pernah timbul sekelumit keraguan mengenainya.

Siapa beliau untuk menghina dan menghalau seorang negarawan yang lahir di tanah ini? Sdr Lim Kit Siang telah habiskan lebih separuh abad dari usia beliau berjuang dalam sepak terajang politik, malah dihumban ke jeriji besi ISA dua kali. Semua ini beliau tempuhi demi aspirasi Malaysia untuk semua rakyat Malaysia — agar semua rakyat Malaysia, termasuklah Timbalan Ketua Pemuda PAS yang setahun jagung itu sendiri, dapat menikmati kesejahteraan hidup dan kemakmuran bersama.

Selama lebih lima dekad, Sdr Kit Siang telah berjuang mempertahankan demokrasi dan menjunjung keluhuran Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara. Atas kapasiti beliau selaku ahli Parlimen 12 penggal yang pernah berkhidmat di 5 negeri dalam Persekutuan Malaysia, beliau berhak untuk memberikan pandangannya terhadap Dr Zakir Naik, yang kini dikehendaki oleh negara asalnya iaitu India. Kita juga sedia maklum bahawa cadangan Sdr Kit Siang terhadap keberadaan Dr Zakir Naik ini bukanlah cadangan beliau secara bersendirian.

Perangai hodoh Pemuda PAS ini tiada bezanya dengan kenyataan rasis Presiden US Donald Trump yang mengugut penghalauan beberapa wakil rakyat di Amerika Syarikat antaranya Ilham Omar dan Rashida Tlaib walaupun mereka adalah patriot yang cintakan negara mereka. Walaupun tidak hairan, adakah Pemuda PAS juga ingin mengikut jejak perangai cauvanis dan dangkal Trump yang pernah anjurkan ‘Muslim Ban’?

Inilah dia perangai sesetengah pemimpin PAS. Sembang kencang nak halau orang, tapi asam garam perjuangan pun belum merasa. Sibuk nak bela orang diseru ke kamar mahkamah, tetapi lari sebelum sempat dibicarakan. Tak ubah seperti Donald Trump juga, lari dari perkhidmatan ketenteraan atas alasan kurang upaya.

Sejak Januari 2018, Kerajaan India telah mengemukakan permohonan rasmi untuk membawa pulang Dr Zakir Naik bagi berhadapan dengan dakwaan penggubahan wang haram berjumlah RM115.66 juta. Adalah tidak wajar untuk sebuah negara berdaulat seperti Malaysia untuk terperangkap di dalam situasi seperti ini. Sekiranya benar Dr Zakir Naik tidak bersalah, beliau seharusnya pulang ke India secara sukarela bagi membersihkan nama baiknya tanpa melibatkan Malaysia.

Maka, kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Ahmad Fadhli ini adalah sangat tidak wajar. Beliau sepatutnya merujuk kembali kepada kenyataan yang telah dikeluarkan oleh YAB Perdana Menteri mengenai isu ini. Apa yang jelas, kita juga mahukan satu perbicaraan yang adil untuk sesiapa sahaja, termasuklah Dr Zakir Naik. Beliau perlu diberikan peluang dan ruang bagi membersihkan namanya. Adalah penting untuk memahami kedudukan beliau sebagai tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Hak-hak ini adalah selaras dengan prinsip asas undang-undang jenayah iaitu “innocent until proven guilty”. Prinsip ini menjadi teras kepada sistem keadilan di seluruh dunia. Sebesar mana pun kesalahan yang dituduh, seseorang itu perlu diberi ruang untuk membela diri di mahkamah. Dan dalam kes Dr Zakir Naik ini, ruang tersebut tersedia untuk beliau di India dan bukanlah di mana-mana negara lain termasuklah Malaysia.