Long Tiger Ditahan Lagi, Disiasat Berkaitan Kes Pemerasan

598

Long Tiger yang menjadi bualan netizen kerana kelantangannya sehingga menimbulkan kontroversi melalui beberapa sesi siaran langsung dalam Facebook sebelum ini ditahan pihak polis semula semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki berusia 31 tahun yang merupakan pemastautin sementara dari Myanmar itu ditahan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di IPD Muar pada jam 5.45 petang.

“Long Tiger telah ditangkap semula bersabit satu lagi kes yang baharu dilaporkan di daerah Tangkak melibatkan elemen pemerasan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

“Permohonan reman sudah dibuat mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dan majistret telah membenarkan tahanan reman selama tiga hari sehingga 5 Mei,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Selasa lalu IPD Tangkak menahan Long Tiger dan ditahan reman selama lima hari atas kesalahan memfitnah seorang pegawai polis dari IPD Tangkak.

Siasatan awal pihaknya mendapati lelaki itu mempunyai kaitan dengan kumpulan gengster dan mempunyai tiga rekod kesalahan lampau membabitkan kes ugutan jenayah pada 2009 selain kes culik dan kes rogol pada tahun 2012, yang kesemuanya sudah disabitkan kesalahan.