LTTE : Kertas Siasatan Sudah Diserahkan, Bergantung Kepada Peguam Negara Untuk Dakwa Atau Bebaskan

292

Polis memaklumkan telah menghantar kertas siasatan berkenaan suspek disyaki terlibat dengan kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), kepada Pejabat Peguam Negara.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kini bergantung kepada peguam negara sama ada untuk mendakwa atau melepaskan mereka.

“Tugas kita sudah selesai. Kita telah lengkapkan dan hantar kertas siasatan kepada peguam negara (Tommy Thomas).

“Jadi peguam negara akan buat penelitian. Mungkin dia perlukan sedikit masa, bergantung kepadanya sama ada dia mahu dakwa atau bebaskan mereka,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) hari ini.

Sempena sambutan Deepavali hari ini, ahli keluarga diberi masa dua jam untuk melawat suspek.