Lynas Terus Beroperasi : Menteri Minta Rakyat Berfikiran Terbuka

593

Sikap minda terbuka adalah perlu untuk membangunkan potensi industri nadir bumi di negara ini termasuk isu berkaitan kilang pemprosesan Lynas Corporation Ltd. (Lynas).

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, kerajaan memahami dan menyedari kebimbangan banyak pihak namun peluang perlu diberi kepada industri ini dan Jabatan Mineral dan Geosains Negara untuk membuat kajian sebelum sebarang langkah terbaik diambil.

“Seperti di Kuantan dan sebagainya, kita boleh perbaiki prosedur operasi standard (SOP), keutamaannya adalah kepada keselamatan persekitaran dan komuniti serta bagaimana untuk meningkatkan pendapatan negara kita.

“Sebab negara lain tidak buat, itu tidak bermakna Malaysia tidak boleh buat, kita ikut undang-undang yang kita ada dengan peraturan ketat dan tetap dilaksanakan. Kemajuan negara ini di tangan kita, pastikan ekonomi kita tapi kita beri juga perhatian kepada komuniti pada masa akan datang,” katanya.

Xavier berkata demikian ketika waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wong Tack (PH-Bentong) yang ingin tahu mengapa Malaysia perlu mempunyai kilang memproses nadir bumi seperti di Kuantan sedangkan negara-negara maju yang kaya dengan sumber mineral seperti Amerika Syarikat dan Jepun tidak memilikinya.

Sementara itu, Xavier menjelaskan, Kabinet akan membuat kenyataan dalam masa terdekat mengenai keputusan selanjutnya dalam isu kilang Lynas di Kuantan.

“Perbincangan serta dialog awam telah dilakukan dalam isu Lynas, kita sudah ketetapan tentang apa yang akan kita buat tentang Lynas dan Kabinet juga akan buat kenyataan dalam masa terdekat.

“Tetapi, kalau kita mahu majukan negara kita, Lynas boleh dijadikan contoh, kalau ada sistem yang lebih baik untuk diguna pakai, saya tidak rasa ada sebarang masalah untuk apa yang kita mahu lakukan. Kita kena adakan satu minda terbuka untuk industri ini dalam negara kita untuk masa depan akan datang, ini kita buat dengan kajian antarabangsa serta dengan universiti tempatan untuk adakan sistem yang terbaik,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang ingin mengetahui jaminan oleh kerajaan mengenai risiko kesihatan termasuk kanser kepada masyarakat apabila kilang Lynas dibenarkan untuk terus beroperasi.