Mahasiswa Dihimpit Kemiskinan: Maszlee Tepis Kepada Pusat Zakat, Baitulmal Minta Lebih Aktif Bantu

181

KUALA LUMPUR: Pusat zakat dan baitulmal wajar bergerak lebih aktif bagi menyelesaikan isu mahasiswa universiti awam (UA) yang terpaksa mengikat perut kerana kekangan kewangan, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, pusat zakat dan baitulmal wajar menjadi antara fokus utama menyelesaikan isu itu kerana kedua-dua institusi bertanggungjawab membasmi kemiskinan.

Katanya, kedua-dua institusi itu wajar melaksanakan inisiatif dilaksanakan pihak universiti, badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan mahasiswa yang menyediakan makanan percuma kepada pelajar miskin.

“Apabila disebut mengenai kemiskinan, ia lebih dekat dengan zakat dan baitulmal. Mungkin kita boleh panggil baitulmal berperanan lebih aktif di UA kerana jika sebut miskin, sinonimnya adalah zakat.

“Kita minta pusat zakat sama berfungsi seperti dilakukan NGO dan pihak terbabit (memberi makanan percuma) kerana saya yakin, zakat antara penyelesaian membantu membasmi kemiskinan

“Kita berterima kasih kepada semua pihak yang memberi bantuan berterusan kepada mahasiswa dan kita galakkan zakat dan baitulmal juga turut menyumbang dalam isu ini,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan beberapa pihak supaya kerajaan mengembalikan inisiatif pemberian makanan percuma, khusus kepada mahasiswa miskin di UA bagi menyelesaikan isu pelajar terpaksa mengikat perut.

Sebelum ini, BH mendedahkan sebilangan pelajar Universiti Malaya (UM) terpaksa mengikat perut dengan hanya makan sekali sehari, kerap berpuasa dan bergantung pada sebuku roti untuk dua hari akibat kekangan kewangan.

Kesempitan hidup dialami pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) itu menyebabkan mereka terpaksa berjimat cermat demi meneruskan pengajian masing-masing.

Ditanya sama ada kerajaan bercadang melaksanakan pemberian makanan percuma di UA, Maszlee berkata, inisiatif itu sudah wujud ketika ini yang dipelopori pelbagai pihak.

“Kita melihat pemberian makanan percuma itu sudah dilaksanakan dan berterusan oleh pelbagai pihak. Saya dapati pihak universiti, kakitangan akademik, NGO, sukarelawan dan pihak mahasiswa turut menggerakkan banyak usaha memberi makanan percuma di universiti,” katanya.