Mahathir Juga Pernah Puji Anwar Lebih Baik Berbanding Ghaffar Baba Sebelum Beliau Disingkir Pada 1998 – Zaid Ibrahim

368

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihati supaya tidak terlalu teruja dengan kenyataan bahawa beliau pemimpin lebih baik berbanding bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Nasihat itu datang daripada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang dipercayai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam dengan menganggap Anwar pemimpin lebih baik berbanding Najib.

Dakwa Zaid, Anwar sebelum ini juga pernah dikatakan lebih baik berbanding bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba namun ia tidak berjaya menyelamatkan karier politik Anwar apabila disingkirkan daripada kerajaan dan UMNO ketika diketuai Dr. Mahathir pada lewat 1990-an.

Tambahnya, hal sama berulang apabila Najib juga pernah dianggap lebih baik berbanding bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Tun Abdullah Ahmad Badawi namun kemudian Dr. Mahathir akhirnya berjaya menumbangkan Najib.

“Mula-mula Anwar lebih baik berbanding Ghafar. Ia tidak menyelamatkan Anwar. Kemudian Najib lebih baik berbanding Pak Lah, ia juga tidak menyelamatkan Najib.

“Kini Anwar lebih baik berbanding Najib. Saya rasa Anwar jangan terlalu teruja. Masih panjang lagi,” katanya menerusi ciapan dalam akaun Twitter beliau hari ini.

Mengikut laporan temu bual dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan semalam, Dr. Mahathir berkata Anwar adalah pemimpin lebih baik berbanding Najib untuk memimpin negara walaupun pernah meragui keupayaan Presiden PKR itu pada masa lalu.

Sejak Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum Ke-14, spekulasi liar yang sukar dipadamkan ialah Dr. Mahathir dikatakan tidak akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar seperti dipersetujui dan perkara sama turut disebut dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau ketika ini.