Mahukan Sokongan Melayu? Bersatu Perlu Keluar PH, Tolak DAP

404

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan bergabung dengan pembangkang PAS dan UMNO, jika mahu mendapatkan semula sokongan orang Melayu.

Tidak setakat itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga perlu menolak sebarang hubungan atau kerjasama politik dengan parti tamak haloba DAP, memandangkan kebanyakan orang Melayu benci dengan parti berkenaan.

Demikian antara cadangan yang disuarakan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Aminuddin Yahaya hari ini.

Cadangan itu susulan kenyataan Dr Mahathir sebelum ini, bahawa kekalahan PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih Sabtu lalu, disebabkan perpaduan PAS-UMNO serta hutang negara sehingga gagal menunaikan janji.

“Dengan melakukan dua cadangan ini, maka orang Melayu akan sokong Tun,” katanya dalam satu kenyataan. 

Selain itu, Aminuddin turut mencadangkan supaya Dr Mahathir mengembalikan semula pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), supaya dapat menambah pendapatan kerajaan sebanyak RM20 bilion.

“Gabungkan kementerian-kementerian sebaik mungkin supaya kos pentadbiran dapat diminimakan. Pulihkan kembali hubungan dengan negara China supaya kelapa sawit dapat dijual kembali kepada negara tersebut.

“Buang semua lantikan politik dalam GLC untuk mengelakkan konflik kepentingan dan ketirisan. Kawal harga rumah dan mudahkan pinjaman perumahan supaya ekonomi terus berjalan dan berkembang,” katanya.

Beliau menggesa supaya kerajaan mengurangkan cadangan untuk mengubah akta dan perundangan kerana ia hanya akan menghabiskan masa serta tenaga menteri dan penasihat.

Sebaliknya kata beliau, kerajaan perlu fokus bersungguh kepada isu-isu ekonomi, termasuk mewujudkan insentif cukai supaya dapat menarik semula pelabur asing ke negara ini.

“Runding kembali dengan konsesi IPP yang sebelum ini Tun berikan kepada kroni-kroni. Kalau boleh, hapuskan terus. Ini akan mengurangkan pengaliran duit GLC kepada syarikat-syarikat kroni yang sudah kaya raya.

“Hentikan cadangan untuk projek kereta nasional ke-3. Tingkatkan saham kualiti proton. Banyak duit boleh dijimat,” katanya.