Maki MB Perak : Timbalan Ketua Bersatu Tambun Tidak Gentar Dilucut Jawatan

285

0IPOH 4 Mac – Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tambun, Jaafar Uthman yang memaki Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi video ditularkan dalam media sosial, mengaku telah memberi masa selama dua jam sebelum nekad untuk berbuat demikian.

Jaafar mendakwa, perkara itu telah dimaklumkan kepada Setiausaha Kerja dan Pegawai Khas Ahmad Faizal di peringkat Parlimen Tambun, namun tiada sesiapa pun yang menghalangnya daripada bertindak melakukan rakaman video tersebut.

Jaafar berkata, masalah melibatkan 200 ejen jualan tiket di Terminal Amanjaya yang bakal kehilangan punca pendapatan merupakan suatu perkara serius, namun beliau sebagai timbalan kepada Ahmad Faizal, gagal mengatur pertemuan formal selama sejam bagi menyelesaikan masalah tersebut sejak dari bulan September tahun lalu.

“Saya beritahu kepada bos (Ahmad Faizal) ,Terminal Amanjaya ada masalah, dia kata tunggu saya balik dari China. Saya tunggu dia telefon, tak telefon, saya telefon tidak berangkat. 

“Dua kali saya sudah serahkan surat diberikan persatuan ejen tiket, jadi dia sebagai Menteri Besar, balaslah balik, walaupun surat tidak bercop kerana saya selalu jumpa dia di tempat kenduri. Kalau tak balas, pegawai-pegawainya macam tak sekolah kerana tidak tahu buat kerja,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Jaafar sebelum ini membuat dua rakaman video memaki Ahmad Faizal yang juga Ketua Bahagian Bersatu Tambun ekoran mengibaratkan Ahli Parlimen Tambun itu sebagai seolah-olah ‘lepas tangan’ bagi menyelesaikan masalah rakyat di kawasannya sendiri.

Ditanya sama ada tidak takut sekiranya diambil tindakan oleh Bersatu, Jaafar berkata, beliau tidak kisah andai kata dibuang jawatan dalam parti.

“Saya dalam Bersatu memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Bahagian tetapi saya cari makan bukan dalam parti, saya ada kerja sendiri, ada niaga sendiri. Buang jawatan apa masalah pun, tak jadi kudis pun.

“Jadi, bila pemberita tanya pentadbiran lama dengan baharu ini, mana yang lebih ‘cantik’, kalau perangai macam itu, tuan-tuan pun tahu siapa yang ‘cantik’, bossku lagi cantik,” katanya.