Mangsa Rogol Ahli Politik Kini Nazak Terlibat Kemalangan Yang Disyaki Dirancang

3159

Remaja perempuan yang menuduh seorang ahli politik kanan merogolnya kini bertarung nyawa selepas cedera serius dalam kemalangan yang turut mengorbankan dua saudaranya.

Kemalangan itu membangkitkan kecurigaan ia disebabkan perbuatan khianat.

Peguam remaja itu turut cedera teruk dalam kemalangan, yang berlaku di Uttar Pradesh kelmarin apabila kereta mereka bertembung dengan sebuah trak.

Semalam, polis berkata mereka menangkap pemandu trak dan menyiasat dakwaan ia mungkin dirancang untuk membuatkan gadis itu menutup mulut.

“Kami menganalisis semua aspek, kami menyiasat semua butiran panggilan dan mempunyai kenyataan saksi yang direkodkan,” kata ketua polis negeri, O P Singh.

Remaja berusia 19 tahun itu menuduh ahli perundangan Parti Bharatiya Janata, Kuldeep Singh Sengar, merogol beliau di rumah tokoh itu pada 2017, tetapi polis di negeri itu pada awalnya enggan mengambil tindakan.

Bapanya kemudian ditahan polis dan dipukul teruk, didakwa dilakukan saudara lelaki Sengar, sebelum meninggal dunia kerana kecederaan dialami.

Beberapa bulan kemudian, wanita itu cuba membakar diri di luar rumah pemimpin parti itu di Uttar Pradesh, Yogi Adityanath.

Bantahan di seluruh India menyebabkan kes itu diserahkan kepada penyiasat persekutuan yang menangkap Sengar tahun lalu. Beliau menafikan tuduhan itu.

Keluarga mangsa berkata, kemalangan sengaja dirancang untuk membunuh remaja itu supaya kes rogol tidak dibawa ke mahkamah. — Agensi