Mansuh Khairat Kematian RM2500, Ganti Dengan Baucar Beli Belah RM100 Bukti Kerajaan Selangor Lupa Jaga Kebajikan Rakyat

393

KENYATAN MEDIA KETUA PEMBANGKANG SELANGOR

Penarikan Skim Mesra Usia Emas iaitu Khairat Kematian Sebanyak RM2,500 dan digantikan dengan pemberian baucar Jom Shopping bernilai RM 100 setahun adalah sangat mendukacitakan.

Kerajaan Negeri Selangor setiap tahun mendabik dada sebagai negeri utama yang menjana pendapatan tinggi untuk negara dan tidak mengabaikan kebajikan rakyat selangor. Malang sekali selepas kerajaan negeri diberi mandat yang sangat besar oleh rakyat, mereka lupa akan kebajikan rakyat yang harus mereka jaga dan bantu.

Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri sangat lemah dalam pengurusan perbelanjaan serta tadbir urus yang kurang efektif. Saya juga jangkakan akan ada kenaikan tarif air selepas ini dan tidak semua orang yang akan menikmati skim air percuma seperti sebelum ini yang telah diumumkan oleh dato menteri besar pada bajet 2019 yang lepas.

Seharusnya kerajaan negeri selangor mengekalkan skim bantuan untuk rakyat seperti sebelum ini malah menambahbaik lagi skim – skim yang ada untuk kebajikan rakyat memandangkan mandat rakyat yang diberikan sangat tinggi serta memikirkan perkara – perkara yang dapat menjana pendapatan kerajaan negeri selangor.

Kepada rakyat selangor, di saat masalah ekonomi yang merosot, kos sara hidup yang tinggi dan tekanan hidup yang semakin tinggi saya mohon anda semua tetap kekal semangat dan ada usaha fikir untuk meneruskan kehidupan. Di saat segala kebajikan yang selama ini kita nikmati kini sedikit demi sedikit ditarik kenikmatannya maka saya tetap akan memperjuangkan keadilan dan kebajikan rakyat.

Saya sangat kecewa dengan tindakan kerajaan negeri selangor yang telah memansuhkan bantuan khairat kematian sebanyak RM 2,500 ini. Jika rakyat mampu menjatuhkan kerajaan yang berusia 60 tahun sebelum ini maka tidak mustahil rakyat akan menghukum kerajaan yang ada hari ini.

YB Rizam Ismail
Ketua Pembangkang Selangor