Maut Langgar Tiang Tol

288

JOHOR BAHRU: Seorang wanita berusia 28 tahun maut selepas kereta dipandunya terbabas lalu melanggar tiang rumah tol dalam kejadian di Kilometer 8, Plaza Tol Kempas Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata mangsa, Tan Kuok Wee disahkan meninggal dunia di tempat kejadian jam 3 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang memandu sebuah kereta dari arah utara terbabas sendiri.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa yang beralamat di Jalan Nagasari 14, Segamat Baru melanggar tiang rumah Plaza Tol Kempas,” katanya.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.