MCMC Ingatkan Jangan Kongsi Rakaman Tembakan Rambang Di Christchurch

604

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan orang ramai agar tidak berkongsi atau menyebarkan rakaman video insiden tembakan di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand.

Dalam satu kenyataan, MCMC berkata ia adalah perlu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini yang boleh mengundang suasana panik dan marah dalam kalangan masyarakat.

“Orang ramai juga diminta menghormati sensitiviti dan perasaan keluarga mangsa yang terlibat.

“Pada masa yang sama, pihak MCMC akan turut bekerjasama dengan penyedia-penyedia perkhidmatan untuk menurunkan rakaman berkenaan,” jelasnya.

Menurut MCMC, sebarang perkongsian kandungan yang bersifat mengancam dan jelik merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“MCMC memandang serius perkara ini dan mana-mana pihak yang terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada,” tegasnya.

Media hari ini melaporkan kejadian tembakan di dua masjid di Christchurch yang mengorbankan sekurang-kurang 40 orang sewaktu solat Jumaat hari ini.

Daripada jumlah tersebut, dianggarkan 30 kematian direkodkan daripada salah satu masjid tersebut.

Setakat ini dua rakyat Malaysia disahkan cedera dalam kejadian itu.