Menteri Kesihatan Nafikan Kematian Wanita Di Johor Akibat Pencemaran

396

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan kematian seorang wanita di Johor Bahru semalam bukan disebabkan oleh pencemaran di Pasir Gudang tetapi kerana masalah jantung.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata wanita berkenaan juga penghidap penyakit kronik, terutama penyakit hipertensi (darah tinggi) selama 10 tahun.

Katanya, Kementerian Kesihatan mengucapkan takziah kepada suami serta ahli keluarga dan amat bersimpati terhadap apa yang sedang mereka lalui.

“Namun begitu, dimaklumkan bahawa punca kematian beliau bukan disebabkan oleh insiden pencemaran di Pasir Gudang.

“Pada 5 Julai lalu, arwah dibawa ke Hospital Sultan Ismail Johor Bahru (HSIJB) kerana mengalami gejala kesukaran bernafas dan batuk selama tiga hari, bengkak di bahagian kaki serta demam selama sehari.

“Beliau dimasukkan ke wad, yang pemeriksaan mendapati arwah berada dalam keadaan akut, iaitu tekanan darah yang sangat tinggi serta kadar pernafasan yang tinggi (sesak nafas).

“Pasukan perubatan yang merawat berusaha sedaya upaya memberikan rawatan kepada beliau, namun keadaan kesihatannya menjadi semakin serius dan meninggal dunia pada jam 4.20 pagi semalam dengan penyebab kematian sebagai ‘decompensated heart failure’.

“Berdasarkan presentasi klinikal, gejala yang dialami serta hasil pemeriksaan atau ujian berkaitan menunjukkan beliau mengalami kegagalan jantung dan fungsi jantung yang merudum akibat masalah kesihatan yang kronik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini tular di laman sosial berhubung kematian seorang wanita yang didakwa disebabkan oleh pencemaran yang berlaku di Pasir Gudang.

Selain itu, katanya, semakan laporan di HSIJB mendapati tiada rekod yang melaporkan arwah pernah mendapatkan rawatan semasa kejadian di Sungai Kim Kim atau sejak 20 Jun lalu, iaitu apabila terdapat laporan kejadian pelajar sekolah sesak nafas di Pasir Gudang.

“Kementerian Kesihatan juga bersedia untuk berjumpa dengan ahli keluarga arwah bagi menerangkan semula penyebab kematian dan orang ramai, media dan pihak lain dinasihatkan untuk menghormati perasaan keluarga arwah serta mengelak menyebarkan maklumat yang tidak sahih.

“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke masa,” katanya.