Menteri Nafi Najis Burung Punca Gangguan Kesihatan Pelajar Di Johor

424

Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan pencemaran najis burung merpati mungkin antara faktor sampingan menyebabkan insiden gangguan kesihatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, Johor, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KKM bersama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah memberi analisa dan mengemas kini hasil dapatan daripada kejadian pencemaran itu.

“Kita kembali apa yang kami sebutkan, tanpa mengganggu (menghalang) sesiapa pun untuk berikan komen dan pandangan mereka.

“Jadi pandangan kami sehingga hari ini, kita tidak mendapati (pencemaran ini ada kaitan dengan najis burung). Fenomena ini kami akan terus pantau,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kurangkan Gula, Hidup Sihat anjuran sebuah pasar raya di Subang Jaya hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar ketika tinjauannya dua hari lepas, berkata kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan insiden murid SK Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, mengalami sesak nafas dan muntah-muntah yang berulang turut berpunca daripada pencemaran najis dan hama burung merpati di beberapa bilik darjah sekolah terbabit.

Sebelum ini, media melaporkan sembilan kes baharu sesak nafas dilaporkan di Pasir Gudang membabitkan lapan pelajar dan seorang guru dari empat sekolah termasuk di SK Tanjung Puteri Resort, yang dirawat sebagai pesakit luar.

Dr Dzulkefly berkata pihaknya turut melibatkan sebuah jawatankuasa pakar bebas untuk menyiasat serta mendapatkan analisa dan dapatan yang pelbagai berhubung insiden pencemaran tersebut.

“Kita akan membandingkan hasil dapatan mereka dengan pihak kita. Ia bergantung kepada secepat mana mereka lakukan dan saya jangka hasil dapatan mereka akan siap hujung bulan ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pasukan forensik KKM akan merumuskan punca kematian 12 Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Kelantan, pada hari ini.

“Hari ini pasukan forensik akan mengadakan mesyuarat dalaman dan hasil keputusan akan dirumuskan,” katanya dan menambah bahawa hasil laporan bedah siasat itu akan diumumkan kepada khalayak dalam tempoh terdekat.

Beliau turut memberitahu akan mengambil maklum hasil laporan ujian daripada Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr Steven Chow berhubung kewujudan kandungan bahan pencemar dan toksik dalam sampel sumber air diambil daripada sekitar kampung berkenaan.

Baru-baru ini, FPMPAM menghantar sampel untuk ujian di tiga makmal bebas yang mendapati sampel dari Sungai Pertang di Kampung Kuala Koh, yang menjadi sumber utama air untuk masyarakat Orang Asli itu tidak sesuai digunakan, melainkan dirawat dengan baik.

– Bernama

Klik gambar untuk bacaan penuh