CoronaVirus : Menteri Saran Usahawan Jalankan Perniagaan Seperti Tidak Ada Apa-apa Yang Berlaku

246

Usahawan tempatan dinasihatkan supaya meneruskan perniagaan seperti biasa tanpa rasa takut yang keterlaluan berikutan laporan penularan wabak Novel Koronavirus (2019-nCoV).

Secara peribadinya, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Redzuan Yusof berkata, koronavirus adalah virus berjangkit tetapi bukan seperti yang ditularkan oleh netizen hingga menjadi satu ketakutan kepada masyarakat.

“Saya tahu tentang (nCov) di Wuhan tapi ia hanya ketakutan. Jangan takut tentang Wuhan atau berasa risau yang keterlaluan tentang Wuhan.

“Secara peribadinya saya berpendapat (koronavirus) bukan jangkitan seperti mana yang difikir atau ditularkan oleh netizen.

“Jangan hilang kepercayaan terhadap apa yang berlaku sekarang, jalankan perniagaan anda seperti biasa seperti tidak ada apa-apa yang berlaku,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian SMEs Go Global dan SME Co-Investment Partners (SCIP) hari ini.

Namun beliau mengingatkan agar pengusaha tempatan tetap menjaga kesihatan diri dan mengikuti langkah perlindungan diri.

“Tetapi pastikan jaga kesihatan diri,” katanya lagi.

Terdahulu beliau turut menyarankan agar pengusaha tempatan menjadikan China sebagai contoh dalam pemasaran produk apabila negara tersebut adalah antara yang terbaik di dunia dalam kategori itu.

“Lihat hari ini, China adalah pemimpin pemasaran terbesar dunia.

“Jadi tidak ada salah untuk terus bekerjasama dengan komuniti perniagaan China,” katanya lagi. -MalaysiaGazette