Morata Teruja Sertai Atletico

169

MADRID: Penyerang Chelsea dari Sepanyol, Alvaro Morata mengakui gembira kembali ke kelab zaman remajanya, Atletico Madrid selepas menyempurnakan perpindahan secara pinjaman selama 18 bulan.

Morata, 26, bergelut selama 12 bulan di Stamford Bridge selepas menyertai kelab Liga Perdana Inggeris itu dari Real Madrid pada 2017, menjaringkan 16 gol dalam 47 perlawanan liga.

Dia yang dilihat hilang keyakinan dalam melakukan penyudah di depan gol kurang mendapat kepercayaan bekas jurulatih Chelsea, Antonio Conte dan pengurus semasa skuad Blues, Maurizio Sarri.

“Saya benar-benar teruja dan bangga berada di sini,” katanya pada sidang media selepas menandatangani perjanjian perpindahan.

“Ada tawaran lain namun semuanya terhenti apabila Atletico datang mengemukakan tawaran. Saya di sini dan ia menakjubkan. Saya tidak sabar untuk berlatih bersama rakan pasukan yang baharu.”

Menjadi peminat Atletico pada zaman remajanya, Morata menghabiskan masa empat tahun di akademi kelab itu sebelum menyertai skuad belia Getafe pada 2007 dan kemudian ke Real Madrid.

Dia menghabiskan masa empat tahun bersama skuad utama Real antara 2010 dan 2014, berpindah ke Juventus selama dua tahun sebelum kembali ke ibu kota Sepanyol. Dia kemudian menyertai Chelsea pada 2017.

“Ia memberi banyak makna untuk saya berada di sini, bersama orang yang mengenali saya dan saya hanya boleh mengucapkan terima kasih,” katanya.

“Saya tidak perlu meyakinkan (jurulatih Diego Simeone) untuk menyertai kelab ini. Beliau tahu mengapa panggil saya ke sini. Saya tidak sabar untuk memulakannya dan bermain untuk beliau.” – Reuters