MP Wangsa Maju Anggap Isu Jelir Lidah Tidak Serius, Sengaja Diperbesar Cybertroopers

734

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Dr Tan Yee Kew enggan mengulas lanjut isu kontroversi beliau menjelir lidah ke arah sekumpulan peniaga yang membantah pemindahan penjaja Uptown Danau Kota ke tapak baharu yang tular semalam.

Beliau menganggap isu tersebut tidak serius sebaliknya sengaja diperbesarkan oleh ‘cybertroopers’ yang diupah pembangkang untuk menjatuhkan imej pemimpin kerajaan.

Menurutnya, beliau akui kecewa dengan isu tersebut apabila perjuangannya menyelesaikan masalah penjaja tidak diberikan perhatian sebaliknya media lebih berminat memperbesarkan isu jelir lidah.

“Kerana (Datuk Seri) Najib Razak yang komen terus jadi perhatian. Pada saya isu itu tidak sepenting nasib penjaja Danau Kota yang perlu ditumpukan.

“Kita dah tukar kerajaan, kita mahu perjuangkan keadilan untuk membela golongan bawahan. Pakatan Harapan (PH) sudah berjanji membela B40, bawa reformasi, itu yang kita lakukan tapi usaha itu tidak diberikan perhatian sewajarnya,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Wangsa Maju hari ini.

Semalam, Sinar Harian melaporkan video aksi Yee Kew yang menjelir lidah ke arah peniaga yang berhimpun membantah pemindahan Uptown Danau Kota ke tapak baharu, Bazaria Wangsa Maju mengundang kecaman netizen.