Mujahid Gesa Tindakan Tegas Terhadap Pekeliling “Haram” Ponggal Di Sekolah

486

NIBONG TEBAL: Menteri berhubung hal ehwal Islam Mujahid Yusof Rawa hari ini berkata, tindakan tegas mesti diambil terhadap pegawai pendidikan yang mengeluarkan pekeliling yang mendakwa perayaan Ponggal adalah haram dalam Islam seperti dinasihatkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau berkata, ini kerana Jakim tidak pernah mengatakan adalah “haram” untuk menghadiri perayaan menuai masyarakat Tamil itu, tetapi sebaliknya berkata, orang Islam dibenarkan mengambil bahagian dalam perayaan itu selagi akhlak Islam dipatuhi.

“Isteri saya guru di sebuah sekolah di Nibong Tebal dengan ramai pelajar Tamil. Sekolahnya mengambil bahagian dalam Ponggal dan pada waktu sama mematuhi akhlak Islam sejak beberapa tahun,” katanya di luar satu acara di Institut Perindustrian Arumugam Pillai di sini hari ini.

Mujahid mempersoal tindakan pegawai dari Kementerian Pendidikan kerana memutarbelitkan kandungan surat berkenaan.

“Anda (pegawai terbabit) menggunakan perkataan seperti ‘terpaksa’ dan ‘haram’. Come on lah. Kita kata Ponggal diharuskan selagi akhlak Islam dipatuhi.

“Kami mendesak tindakan tegas diambil ke atas individu yang menulis surat tersebut dan kemudian menyalahkan Jakim kerana membuat keputusan itu. Kasihanilah saya dan Jakim.”

Surat yang dirujuk oleh Mujahid merupakan pekeliling Kementerian Pendidikan kepada semua pengetua sekolah yang dikeluarkan menjelang sambutan perayaan Ponggal.

Pekeliling bertarikh 13 Jan itu menyebut bahawa Jakim mengisytiharkan mengambil bahagian dalam ritus Ponggal adalah “haram”, terutamanya perbuatan mendidihkan susu, yang merupakan acara utama perayaan menuai masyarakat Tamil itu.

Ia ditulis oleh penolong pendaftar institusi pendidikan dan guru Adzman Talib.

Dalam perkembangan lain, Mujahid membidas G25, kumpulan bekas pegawai tinggi awam, kerana mempersoalkan keabsahan Jakim dan Majlis Kebangsaan Hal Ehwak Islam (MKI).

Beliau berkata, langkah G25 mempersoal status Jakim dan MKI adalah seumpama mempersoalkan industri pensijilan “halal”, yang menyaksikan Malaysia menguasai sebahagian besar industri “halal” dunia yang bernilai AS$2 trilion.

Mujahid berkata, sekiranya kenyataan G25 itu benar, maka 30,000 guru sekolah agama dan kira-kira 1 juta pelajar di bawah mereka menerima gaji daripada sebuah badan haram.

Katanya, kumpulan itu sepatutnya mengehadkan dapatan kajiannya untuk dibahaskan dalam forum akademik, bukan mendedahkannya secara terbuka kerana ia akan mengelirukan orang ramai.

“Kesan kenyataan mereka tidak kena masa, terutama pada saat wujudnya ketegangan kaum dan agama. Apakah tujuan mereka? Anda memburukkan lagi keadaan.”

Terdahulu Mujahid melancarkan program e-RPH untuk sekolah agama, termasuk aplikasi telefon bimbit untuk guru bagi membantu mereka menyampaikan pendidikan berkualiti kepada pelajar.

Beliau berkata, kerajaan merancang untuk menaikkan elaun semasa RM1,000 kepada guru sekolah agama sebanyak RM100 bergantung kepada kelulusan.