Myokymia : Keluarga Persoal Kesungguhan KKM Rawat Irfan Wafiy

380

Keluarga kanak-kanak 12 tahun yang menghidap myokymia kecewa apabila mendakwa pihak berkaitan tidak mengambil berat dalam aspek rawatan murid itu.

Irfan Wafiy Idham Wazir, disahkan menghidap penyakit myokymia dipercayai selepas terdedah dengan pencemaran toksik dari Sungai Kim Kim, di sini Mac lalu.

Bapa Irfan Wafiy, Idham Wazir A Wahab, 49, berkata dia kecewa kerana pihak berkuasa tidak mengambil berat mengenai status anaknya hingga kini.

Beliau mempersoalkan keseriusan Kementerian Kesihatan merawat anaknya apabila menetapkan temujanji untuk rawatan fisioterapi Irfan Wafiy pada bulan depan.

“Anak saya kena (terkesan akibat pencemaran) Mac, tetapi temu janjinya bulan Ogos, anak saya fobia malah mangsa yang lain juga fobia,” katanya ditemui di Taman Dahlia di sini, hari ini.

Idham Wazir berkata, dia turut kecewa apabila temu janji untuk rawatan psikologi dengan Hospital Permai, Tampoi sebanyak tiga kali tidak berhasil.

“Tiga kali saya bawa dia (Irfan Wafiy) untuk berjumpa doktor psikologi di Hospital Permai, tetapi tiga kali dia (doktor) tidak ada,” katanya.

Menurut Idham Wazir, anak keempat dari lima beradik itu perlu menjalani tiga rawatan susulan iaitu rawatan untuk saraf, fisioterapi dan psikologi.

“Pihak hospital ada beri ubat tetapi kesannya bila anak saya makan dia akan tidur. Jadi saya kasihan sebab dia hendak ke sekolah, tambahan pula tidak lama lagi dia ada peperiksaan, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),” katanya.